Perlumbaan di Misano menyaksikan aksi mendebarkan apabila Brian Uriarte muncul juara pada perlumbaan terakhir Red Bull MotoGP Rookies Cup, pada Sabtu.
Pelumba Sepanyol berusia 17 tahun itu memanfaatkan kesilapan David González di selekoh terakhir, sebelum menyusup masuk di bahagian dalam untuk merampas kedudukan pertama. Uriarte kekal di hadapan sepanjang dua selekoh terakhir dengan berada di bahagian kiri litar sekaligus menamatkan perlumbaan dengan aksi penuh dramatik.
Persaingan sengit itu melibatkan empat pelumba utama yang hanya dipisahkan dengan jarak 0.308 saat di garisan penamat. Marco Morelli yang mengekori rapat sepanjang perlumbaan berjaya menduduki tempat kedua, manakala Zen Mitani pula muncul pelumba ketiga terpantas selepas memecut di penghujung perlumbaan.
González yang memimpin sebahagian besar perlumbaan terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat selepas melakukan kesilapan masuk selekoh.
Kemenangan ini bukan sahaja mengesahkan Uriarte sebagai pemenang perlumbaan, malah menobatkannya sebagai juara keseluruhan musim ke-19 Red Bull MotoGP Rookies Cup. Uriarte menutup musim dengan penuh bergaya selepas rakan-rakan pencabar utamanya, Veda Pratama dan pelumba Malaysia Hakim Danish, tersingkir akibat kemalangan di pusingan ke-11.
“Saya sudah cuba melepaskan diri dengan kelebihan hampir satu saat, tetapi mereka berjaya mengejar semula. Akhirnya segalanya ditentukan pada pusingan terakhir. Saya masuk lebih lewat di zon brek, tetapi González masuk lebih lewat lagi, dan saya berjaya potong di bahagian dalam. Itu sahaja peluang saya,” ujar Uriarte selepas perlumbaan.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan di Misano adalah hasil kerja keras sepanjang musim, termasuk memperbaiki gaya tunggangan di selekoh panjang kanan sebelum laluan lurus belakang. Uriarte menutup musim dengan penuh yakin, walaupun perlumbaan penutup musim masih berbaki satu lagi pada Ahad.
Bagi wakil Malaysia, Hakim Danish Ramli, nasib kurang menyebelahi apabila terlibat dalam insiden pada pusingan ke-11. Pelumba berusia 18 tahun itu terbabit dalam perlanggaran melibatkan Veda Pratama dan Yaroslav Karpushin, yang sekali gus menamatkan peluangnya untuk bersaing merebut kejuaraan hingga ke garisan penamat.
Walaupun tersingkir lebih awal, Hakim Danish tetap meninggalkan impak besar sepanjang musim 2025 dengan beberapa aksi konsisten di kelompok hadapan. Keupayaannya menyaingi pelumba muda berbakat dari Eropah membuktikan potensi besar yang dimiliki anak muda Malaysia ini dalam membina kerjaya ke arah kelas lebih tinggi, termasuk Moto3.
Baca juga:


