Pelumba Red Bull KTM Tech3, Maverick Viñales disahkan tidak akan kembali beraksi pada pusingan kedua terakhir musim ini di Grand Prix Portugal hujung minggu ini.
Keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pasukan dan pihak KTM bagi membolehkan pelumba Sepanyol itu terus menjalani proses pemulihan bagi memastikan beliau berada dalam prestasi terbaik menjelang Grand Prix Valencia dan sesi ujian pasca musim.
Pengurus pasukan Tech3, Nicolas Goyon, menjelaskan bahawa keputusan tersebut adalah langkah terbaik untuk jangka masa panjang.
“Portimao merupakan litar yang sangat mencabar dari segi fizikal, jadi kami mahu Maverick berada dalam keadaan terbaik di Valencia nanti. Oleh itu, kami memberi tambahan seminggu untuk proses pemulihan beliau. Buat masa ini, Pol Espargaro akan sekali lagi menggantikan Maverick bagi perlumbaan di Portugal,” katanya.
Ini akan menjadi penampilan kelima Pol Espargaro musim ini sebagai pelumba gantian untuk Viñales, yang sebelum ini menjalani pembedahan ligamen selepas mengalami kecederaan bahu ketika di Sachsenring.
Menariknya, perlumbaan di Portimao bakal membawa makna tersendiri buat Espargaro, kerana kali terakhir beliau beraksi di litar itu pada 2023, beliau mengalami kemalangan serius yang memaksanya berehat panjang.
“Secara jujur, saya tidak menjangka akan menggantikan Maverick lagi, tetapi saya faham ini adalah keputusan terbaik untuk memastikan beliau pulih sepenuhnya. Sebagai pelumba ujian, tugas saya adalah membantu pasukan dan pelumba lain sebaik mungkin,” ujar Espargaro.
“Kami baru sahaja menjalani ujian di Jerez minggu lalu, jadi saya harap kami dapat terus mengumpul data positif untuk menambah baik jentera kami. Portimao istimewa bagi saya kerana ia litar di mana saya alami kemalangan besar dahulu.Jadi, untuk hujung minggu ini adalah satu cabaran peribadi buat saya.”
Setakat ini, Espargaro telah meraih lima keputusan dalam kelompok sepuluh terbaik sepanjang musim, dengan pencapaian terbaiknya di tempat kelapan ketika beraksi di Balaton Park. Kehadirannya sekali lagi di grid utama dijangka membantu pasukan Tech3 mengumpul lebih banyak data penting menjelang kempen penutup musim di Valencia.
Baca juga:


