Jorge Martin terus direhatkan

Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin, disahkan akan terus berehat dan tidak akan menyertai saingan Grand Prix Portugal bagi meneruskan proses pemulihan kecederaannya.

Pelumba Sepanyol itu masih dalam fasa penyembuhan selepas mengalami patah tulang selangka kanan akibat terjatuh dalam perlumbaan Tissot Sprint di Jepun bulan lalu.

Insiden tersebut menyebabkan Martin terpaksa menarik diri daripada baki perlumbaan di Motegi serta terlepas tiga pusingan seterusnya di Indonesia, Australia dan Malaysia. Meskipun semangatnya untuk kembali ke litar amat tinggi, pasukan Aprilia memutuskan untuk tidak mengambil risiko dan memberi masa tambahan buatnya untuk sembuh sepenuhnya sebelum kembali beraksi.

Dalam kenyataan rasmi pasukan, Aprilia menjelaskan bahawa Martin telah menjalani pemeriksaan perubatan bersama Profesor Xavier Mir, pakar ortopedik ternama yang turut mengendalikan ramai pelumba MotoGP.

Hasil pemeriksaan mendapati pemulihan pasca pembedahan berjalan lancar, dengan Martin kini sudah mampu menggerakkan tangan kanannya sepenuhnya. Namun begitu, tulang selangkanya masih belum sembuh sepenuhnya, sekali gus memerlukan tempoh pemulihan tambahan sebelum dibenarkan kembali berlumba.

Martin dijangka menjalani pemeriksaan susulan dalam beberapa hari lagi, yang akan menentukan sama ada beliau boleh kembali ke saingan untuk pusingan penutup musim di Valencia dan ujian pasca perlumbaan. Buat masa ini, Aprilia masih belum mengumumkan pelumba gantian untuk GP Portugal, namun semua pihak berharap Martin dapat kembali bersaing dalam keadaan terbaik menjelang penghujung musim.

Sebelum mengalami kecederaan di Jepun, Jorge Martin sebenarnya berada dalam prestasi yang cukup konsisten sepanjang musim 2025. Bermula dengan keadaan mencabar selepas terlibat dalam kemalangan ketika ujian pra-musim yang menyebabkan beliau terlepas beberapa pusingan awal, pelumba berusia 27 tahun itu perlahan-lahan bangkit semula ke prestasi terbaiknya.

Pada Grand Prix Hungary bulan Ogos lalu, pelumba Sepanyol itu membuktikan ketahanan mental dan fizikalnya apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas bermula dari petak ke-16 satu pencapaian yang menunjukkan kemampuannya kekal kompetitif meskipun berdepan kesukaran.

Namun, siri kecederaan berterusan dan pusingan yang terlepas akhirnya menjejaskan peluangnya untuk kekal bersaing dalam perebutan kejuaraan dunia dan mengulangi rekodnya pada musim lalu, sekaligus menamatkan musimnya lebih awal daripada yang dijangkakan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related