Dua perlumbaan pembuka tirai musim Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) 2025 bakal berlangsung hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, dari 28 Februari hingga 2 Mac.
Perlumbaan itu dijadualkan serentak dengan perlumbaan MotoGP yang ditempatkan di litar sepanjang 4.554 km yang terkenal dengan laluan lurus panjang, zon brek berat dan selekoh ketat, menjanjikan cabaran hebat buat para pelumba muda yang bersedia untuk mempamerkan bakat mereka.
Ujian pramusim yang berlangsung dari 20 hingga 22 Februari ini turut menyaksikan sesi latihan intensif di bawah cuaca panas dan kering. Para pelumba memfokuskan pada penalaan jentera, pemahaman terhadap trek Chang, serta menyesuaikan diri dengan prosedur ATC.
Tumpuan utama musim ini sudah pasti diberikan kepada pelumba dari Jepun, Ryota Ogiwara yang kini memasuki musim ketiganya dalam ATC dan juga merupakan naib juara tahun lalu. Beliau juga merupakan pemegang rekod apabila memecahkan rekod pusingan, 1:45.539saat , 0.5 saat lebih pantas daripada rekod terdahulu.
Tidak jauh di belakangnya, Seiryu Ikegami (Jepun), Alfonsi Daquigan (Filipina), dan pelumba tempatan Noprutpong Bunprawes (Thailand) turut mencatat masa yang kompetitif.
Selain memburu masa pusingan terbaik, para pelumba juga menguji pemilihan tayar, beban bahan api dan pelarasan jentera. Simulasi perlumbaan yang dijalankan memberikan gambaran awal mengenai strategi dan persaingan sebenar di atas trek, dengan bimbingan jurulatih Diego Lozano dan pasukannya.
Dalam pada itu, musim ini juga menyaksikan 22 pelumba dari 10 negara bersaing dalam kejohanan ini, termasuk 12 pelumba baharu yang akan membuat debut mereka. Antara yang menarik perhatian adalah Chen Shiyu (China), satu-satunya pelumba wanita dalam ATC musim ini, yang bersedia untuk mencipta sejarah di pentas kejohanan ini.
Selain itu, nama-nama seperti Ogiwara, Ikegami, Daquigan, dan Bunprawes turut kembali untuk mengukuhkan dominasi mereka, tetapi dengan persaingan yang semakin sengit, tiada jaminan siapa yang bakal menyerlah pada musim ini
Aksi trek bermula pada Jumaat, 28 Februari, dengan sesi latihan bebas dan pusingan kelayakan. Perlumbaan pertama akan berlangsung pada Sabtu, 1 Mac, jam 09:00 pagi waktu Thailand, manakala perlumbaan kedua dijadualkan pada Ahad, 2 Mac, pada pukul 2:35 petang waktu Thailand.
Baca juga :


