PETRONAS MIE Racing Honda Team bersama barisan pelumbanya, Kaito Toba dan pelumba negara, Syarifuddin Azman, beraksi di Litar Phillip Island, Australia bagi pusingan pertama Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP) 2025, hari ini.
Aksi hari Sabtu menyaksikan Toba dan Azman, khususnya yang masih baru dalam kategori ini, cuba memanfaatkan masa di trek sebaik mungkin untuk melakukan persiapan menjelang perlumbaan utama.
Perlumbaan pembukaan WorldSSP musim ini berlangsung sejauh 18 pusingan dengan keperluan penukaran tayar secara mandatori di pertengahan perlumbaan. Azman atau dengan gelarannya, Damok memulakan perlumbaan dari petak ke-21, manakala Toba di petak ke-22 selepas gagal mencatat masa dalam sesi Superpole akibat terjatuh pada hari Jumaat.

Pelumba Jepun itu melakukan permulaan cemerlang, segera memasuki kelompok mata dalam dua pusingan pertama. Berazam untuk meraih keputusan baik selepas persembahan positif dalam sesi latihan Jumaat, Toba memberikan tekanan sejak awal bagi memastikan dia tidak ketinggalan jauh daripada pelumba hadapan.
Pada pusingan kelima, dia berada di kedudukan ke-13 sebelum masuk ke pit untuk penukaran tayar pada pusingan kesembilan. Toba kembali ke trek di tempat ke-15 dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14, sekali gus mengutip mata pertamanya musim ini.
Sementara itu, Damok mempamerkan aksi konsisten sejak permulaan perlumbaan, untuk berada di tempat ke-19 pada pusingan kedua. Pelumba muda Malaysia itu terus mengekalkan rentak positif dan berjaya mendaki tiga lagi kedudukan sebelum masuk ke pit pada pusingan kesembilan untuk menukar tayar. Setelah kembali ke trek, Azman memulakan perlumbaan dengan baik dan mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan, akhirnya menamatkan saingan di tempat ke-17.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas kerja keras mereka. Ini adalah perlumbaan pertama saya dalam kategori SSP, dan dengan peraturan flag-to-flag yang perlu kami hadapi hujung minggu ini, ia menjadi cabaran besar buat saya.

“Malangnya, saya kehilangan beberapa kedudukan ketika hentian pit, tetapi ini adalah pengalaman berharga bagi saya dan pasukan. Saya menikmati perlumbaan pertama ini walaupun tidak berjaya menamatkan saingan dalam kelompok mata. Saya sudah tidak sabar untuk mencuba lagi esok.”
PETRONAS MIE Racing Honda Team akan kembali beraksi di Litar Phillip Island esok untuk perlumbaan kedua dan terakhir bagi pusingan pembukaan WorldSSP musim ini. Toba dan Azman pastinya akan berusaha untuk memperbaiki prestasi serta merebut kedudukan yang lebih baik.


