Pasukan Gresini Racing MotoGP kembali ke litar dengan sentuhan Quicksilver

Pasukan Gresini Racing MotoGP secara rasmi melancarkan projek musim 2025 mereka dalam satu acara penuh warna di Litar Antarabangsa Imola, Itali semalam.

Dengan rekaan livery baharu berwarna biru pastel yang dipadankan dengan krom yang pekat, pasukan ini tampil bersedia untuk memasuki musim baru dengan kombinasi barisan pelumba muda dalam mencapai misi untuk kekal bersaing di kelompok hadapan dalam kejohanan MotoGP.

Acara pelancaran ini turut diselitkan dengan upacara yang penuh makna apabila pasukan ini mengenang jasa pengasasnya, Fausto Gresini, dengan melakukan beberapa pusingan simbolik di Litar Imola. Para hadirin juga dibawa menyelusuri perjalanan sejarah pasukan Gresini Racing melalui pameran khas muzium sejarah dan terowong bertemakan filem bagi memperingati generasi yang telah membentuk pasukan ini dari dulu hingga kini.

Pelumba yang sudah memasuki tahun ketiga bersama pasukan Gresini Racing, Alex Marquez turut meluahkan keterujaannya memulakan musim baharu bersama pasukan yang sama di MotoGP 2025.

“Musim sejuk kali ini terasa amat panjang, terutama sekali selepas mengakhiri tahun lalu dengan prestasi yang cemerlang. Rekaan dan warna baharu ini sangat menakjubkan, dan saya harap peminat juga akan menyukainya. Saya telah bekerja keras sepanjang musim rehat ini untuk memastikan saya berada dalam keadaan fizikal dan mental terbaik, dan saya tidak sabar untuk meraih keputusan cemerlang pada tahun ini,” katanya ketika majlis pelancaran.

Dalam pada itu, pendatang baharu MotoGP, Fermin Aldeguer, yang akan membuat debutnya bersama pasukan itu mengungkapkan kegembiraanya terhadap permulaan baharu yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai acara pelancaran pasukan sebagai pelumba MotoGP, dan ia adalah pengalaman yang luar biasa. Rekaan livery baharu ini sangat menarik, agresif tetapi masih kekal bergaya dan ia mencerminkan semangat juang pasukan Gresini. Saya tidak sabar untuk turun ke trek dan memberikan yang terbaik musim ini,” ujarnya.

Pemilik pasukan, Nadia Padovani, juga tidak terlepas untuk menzahirkan keyakinannya terhadap barisan pelumba dan rancangan mereka menjelang musim 2025.

“Selepas musim 2024 yang luar biasa, kami memasuki 2025 dengan harapan tinggi dan semangat yang diperbaharui. Kami mempunyai gabungan pengalaman dan bakat dalam diri Alex dan Fermin. Alex mempunyai kemampuan untuk konsisten bersaing di kelompok lima terbaik, manakala Fermin telah berjaya mencuri hati kami dengan potensi besar yang dimilikinya.

Reka bentuk jentera baharu yang dipadukan dengan sentuhan krom ini sangat istimewa dan melambangkan cita-cita kami untuk terus bersinar di litar. Kami bersedia untuk terus mengejutkan dunia.

Pelancaran ini turut memperkenalkan jentera Desmosedici GP24 yang telah melalui pelbagai penambahbaikan untuk musim baharu. Rekaan livery dengan padanan biru pastel dan aksen krom melambangkan kombinasi tradisi dan inovasi pasukan Gresini Racing. Reka bentuk ini mencerminkan aspirasi pasukan untuk terus berkembang sambil mengekalkan warisan mereka.

Dengan barisan pelumba yang kuat dan jentera baru yang memukau, Pasukan Gresini Racing bersedia untuk memukau peminat dan pesaing menjelang musim MotoGP 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 28 Februari 2025 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related