Pelumba Itali, Nicolo Bulega bakal mengisi tempat kosong dalam pasukan Ducati bagi dua pusingan terakhir musim 2025 di Portugal dan Valencia.
Perkara itu disahkan oleh pasukan Ducati dengan menyatakan pelumba pasukan Aruba.it Racing itu akan membuat penampilan sulungnya dalam kelas MotoGP di Grand Prix Portugal secara rasmi bagi menggantikan Marc Marquez yang mengalami kecederaan.
Bulega bukanlah nama yang asing dalam arena perlumbaan dunia. Beliau merupakan Juara World Supersport 2023 dan naib juara WorldSBK 2024/25. Selain dari itu, beliau turut berperanan sebagai pelumba ujian untuk Ducati Borgo Panigale.
Baru-baru ini, beliau menjalani sesi ujian pertama bersama jentera Desmosedici GP di Litar Jerez – Angel Nieto, dan kemunculannya di Portugal nanti juga bakal menandakan perlumbaan ke-100 dalam karier kejuaraannya dengan 50 perlumbaan di Moto3 dan 49 di Moto2 sebelum ini.
Bulega dalam satu kenyataan turut meluahkan rasa teruja terhadap peluang yang diberikan, sambil menyifatkannya sebagai satu impian sejak kecil.
“Saya sangat gembira dapat menamatkan musim ini dengan kejutan yang tidak dijangka. Melakukan debut dalam MotoGP adalah impian setiap pelumba. Tambahan pula, dapat menunggang jentera juara dunia untuk dua perlumbaan terakhir menjadikan segalanya lebih istimewa. Saya tiada jangkaan tinggi, tetapi saya akan ambil peluang ini dengan tenang dan berikan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna, turut memuji perkembangan Bulega dengan mengungkapkan pelumba berusia 26 tahun itu sebagai pelumba yang berbakat besar dan penting dalam keluarga Ducati.
“Kami gembira melihat Nicolo menunggang Desmosedici GP. Sejak 2022, kami percaya terhadap potensinya, dan dia membalas kepercayaan itu dengan prestasi cemerlangnya untuk dua musim ini dalam Superbike. Peluang untuk beraksi dalam dua perlumbaan terakhir musim ini ialah cara terbaik untuk memulakan peranannya sebagai pelumba ujian Ducati,” ujarnya.
Bulega, yang dilahirkan pada 16 Oktober 1999 di Montecchio Emilia, mula menunggang motosikal ketika berusia hanya lapan tahun melalui Kejuaraan Minimoto Itali.Beliau kemudian meraih gelaran “European MiniGP 50” dan “Italian PreGP 125/250” sebelum melangkah ke pentas CEV dan seterusnya ke Kejuaraan Dunia.
Sejak memasuki dunia Superbike, Bulega menunjukkan potensi besar selepas menjuarai Kejuaraan Dunia Supersport 2023 dan kini menjadi pelumba utama di dunia Superbike bersama pasukan Aruba.it Racing – Ducati, sambil memegang peranan sebagai pelumba ujian untuk jentera Desmosedici GP. Dengan peluang untuk membuat debut dalam kelas MotoGP serta peranan pembangunan bersama Ducati, Bulega kini berada di persimpangan penting dalam kerjayanya dan pencapaiannya setakat ini mencerminkan pemain masa depan yang sukar dibendung.
Baca juga:


