Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

MotoGP sah beraksi di Valencia hingga 2031

MotoGP disahkan akan terus berlumba di Litar Ricardo Tormo, Valencia sehingga tahun 2031 selepas perjanjian baharu dimeterai bagi memastikan litar ikonik ini menjadi tuan rumah kepada lima lagi Grand Prix dari tahun 2027 hingga 2031.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MotoGP yang mengungkapkan Litar Ricardo Tormo yang terkenal dengan suasana amfiteater yang luar biasa, bakal memberikan peluang untuk penonton melihat hampir setiap selekoh dari tempat duduk mereka.

Keunikan ini, ditambah dengan organisasi perlumbaan yang cemerlang serta lokasinya yang berhampiran dengan bandar Valencia yang kaya dengan budaya, menjadikannya sebagai salah satu destinasi kegemaran peminat dan pasukan MotoGP.

Perjanjian ini mengukuhkan lagi reputasi Valencia sebagai salah satu pusingan paling berprestij dalam kalendar MotoGP. Tidak hairanlah, GP Valencia telah beberapa kali dinobatkan sebagai Grand Prix Terbaik, dan pastinya akan terus bersaing untuk anugerah tersebut sehingga penghujung kontrak baharu ini.

Kredit : MotoGP

Presiden Generalitat Valenciana, Carlos Mazón, menyatakan bahawa keputusan untuk memperbaharui kontrak ini adalah langkah yang tepat.

“Terima kasih atas komitmen terhadap Valencia. Saya rasa ini satu pertaruhan yang selamat! Tidak ada Grand Prix lain yang mencatatkan tiket habis terjual lebih awal seperti di Valencia. Pemain utama di sini adalah peminat yang luar biasa, serta kecintaan yang mendalam terhadap sukan permotoran. Perjanjian ini sangat penting bukan sahaja untuk Valencia, tetapi juga untuk Cheste dan seluruh komuniti Valencian, katanya.

Beliau turut menekankan kesan ekonomi positif yang dibawa oleh MotoGP kepada rantau tersebut, terutamanya dalam usaha pemulihan ekonomi selepas tempoh mencabar sebelum ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Litar Ricardo Tormo, Nicolás Collado, turut meluahkan rasa bangga dengan perjanjian ini.

“Ini adalah berita terbaik yang boleh kami sampaikan kepada Litar Ricardo Tormo. Kami tahu ia bermaksud bahawa selama 25 tahun ini, kami telah melakukan sesuatu dengan baik. Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan Valencia yang terus menyokong kami dan MotoGP,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pasukannya sedang bekerja keras untuk merekonstruksi litar selepas banjir besar pada 2024, dengan harapan untuk menghasilkan GP Valencia terbaik dalam sejarah pada November ini.

Kredit : MotoGP

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta pula menyifatkan keputusan untuk terus berlumba di Valencia sebagai sesuatu yang amat bermakna buat MotoGP.

“Kami sangat gembira dapat mengumumkan masa depan kami di Valencia. Trek ini unik dengan pandangan luar biasa untuk penonton, dan peminat di sini menjadikan perlumbaan lebih istimewa dengan suasana yang mereka ciptakan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa selepas cabaran besar pada 2024 akibat banjir, keputusan untuk kembali bagi lima lagi Grand Prix adalah bukti komitmen jangka panjang MotoGP terhadap Valencia.

Tahun lalu, Litar Ricardo Tormo, Valencia, yang sepatutnya menjadi pentas epik bagi pusingan akhir MotoGP serta penentu kejuaraan antara Jorge Martin (Prima Pramac) dan juara bertahan, Pecco Bagnaia, terpaksa berdepan dengan tragedi yang tidak dijangka.

Litar ikonik itu mengalami banjir besar yang dahsyat, mengakibatkan kerosakan teruk serta menjejaskan ratusan penduduk tempatan. Malangnya, bencana ini turut meragut nyawa beberapa mangsa, sekaligus mencetuskan suasana hiba di seluruh komuniti.

Akibat impak yang terlalu besar, perlumbaan penentu kejuaraan terpaksa dipindahkan ke lokasi lain, menandakan salah satu gangguan paling signifikan dalam sejarah kejohanan. Namun, dengan perancangan teliti dan usaha pemulihan berterusan, Valencia kini bersedia untuk kembali sebagai hos MotoGP sehingga 2031, menjanjikan aksi perlumbaan yang lebih hebat pada masa akan datang.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related