Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) menepati ramalan apabila sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan meraih kemenangan ke-69 dalam kariernya sempena penampilan ke-200 di kelas premier, menerusi aksi sempurna di Grand Prix Jerman 2025.
Lebih manis, kemenangan ini juga membolehkan Marquez memintas Giacomo Agostini di tangga kedua senarai kemenangan sepanjang zaman MotoGP. Di belakangnya, adiknya Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP), yang turut meraikan penampilan ke-100, menamatkan perlumbaan di tempat kedua walaupun masih mengalami kecederaan tangan. Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) pula melengkapkan podium di tempat ketiga selepas perlumbaan penuh drama di Sachsenring.
Rangkuman GP Jerman
Dengan ramalan hujan yang beransur reda, perlumbaan utama berlangsung dalam keadaan kering. Marc Marquez berjaya mencuri holeshot dari petak utama, diikuti oleh Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) dan Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) yang melonjak dari petak 6 (P6) ke petak 3 (P3).
Diggia dan Bezzecchi saling bertukar kedudukan petak 2 sebelum pelumba VR46 itu mengukuhkan tempatnya di Selekoh 12. Di belakang, Alex Marquez dan Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) turut terlibat dalam perebutan posisi, tetapi Marc Marquez sudah mula mencipta jurang hampir satu saat menjelang selekoh ke-3.
Harapan KTM untuk podium musnah apabila Acosta terjatuh di Selekoh 2 semasa berada di P5. Dan dalam masa yang sama Bagnaia memintas untuk merampas kedudukan tersebut, sementara Alex Marquez semakin hampir untuk memintas Bezzecchi. Di hadapan, Marc Marquez terus konsisten dalam lingkungan 1:20 minit setiap pusingan, dengan kelebihan melebihi 3 saat selepas 16 pusingan.
Persaingan untuk tempat kedua semakin hangat antara Di Giannantonio, Bezzecchi, Alex dan Bagnaia. Namun pada pusingan ke-18, Diggia tersungkur di Selekoh 1, disusuli Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) yang turut terbabas di selekoh sama. Tak lama kemudian, Bezzecchi juga menjadi mangsa selekoh yang sama memberikan laluan kepada Alex Marquez untuk naik ke P2, dan Bagnaia ke P3.
Insiden lain turut berlaku apabila Ai Ogura (Trackhouse MotoGP Team) melanggar Joan Mir (Honda HRC Castrol) dan Lorenzo Savadori (Aprilia Racing) turut terjatuh, semuanya di Selekoh 1 yang jelas menjadi perangkap utama perlumbaan.
Tanpa gangguan di hadapan, Marc Marquez menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 9 saat ke atas Alex Marquez. Kemenangan ini merupakan kejayaan kesembilan Marquez di Sachsenring dalam kelas premier, menegaskan gelarannya sebagai ‘SachsenKing’. Alex pula berjaya mengurangkan kerugian mata kejuaraan dengan persembahan penuh semangat, manakala Bagnaia pulih daripada aksi hari Sabtu yang hambar dengan podium P3.
“Ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dilupakan untuk menyambut penampilan ke-200 saya di Grand Prix dengan kemenangan yang cukup bermakna. Saya memang mengimpikan meraih kemenangan ini di Sachsenring kerana saya percaya litar ini merupakan litar yang tidak asing untuk saya.Meskipun keadaan litar agak licin akibat cuaca hujan, saya berjaya menunggang jentera saya dalam keadaan baik dan memberikan fokus penuh.

“Ianya merupakan satu kemenangan yang memegang kunci untuk persembahan saya bagi aksi penggal kedua tahun ini. Saya cuba untuk membaca keadaan sekeliling saya hari ini dengan cuaca yang tidak berada di pihak kami hari ini dan terdapat angin yang tidak begitu kencang pada selekoh satu tetapi cukup untuk menolak saya dan memaksa saya mengubah gaya tunggangan saya sepanjang perlumbaan.
“Saya cuba untuk memastikan tekanan brek saya dalam keadaan yang baik. Tambahan pula, hujan telah menghakis sedikit getah di atas litar yang membuatkan saya berjaga-jaga dan memberikan fokus penuh sepanjang perlumbaan.
Dengan 69 kemenangan kini dalam genggaman dan misi gelaran ke-7 MotoGP semakin jelas, tumpuan kini beralih ke Grand Prix Republik Czech di Brno yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan dengan Marc Marquez turun dengan misi memperkuatkan lagi peluang meraih trofi juara keseluruhan MotoGP 2025 dalam genggaman.
Baca juga:


