Aksi pembukaan hari Grand Prix Ahad berlangsung penuh dramatik apabila Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) meraih kemenangan ke atas Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3) dengan perbezaan hanya 0.018 saat selepas berentap hingga ke garisan penamat.
Perlumbaan epik ini juga menyaksikan David Muñoz (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) berjaya melengkapkan podium.
Perlumbaan bermula kemas dengan Quiles yang memulakan perlumbaan dari petak utama terus meraih holeshot di hadapan Perrone dan juara GP Austria, Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI).
Sorotan Moto3
Sejak dari awal perlumbaan lagi, persaingan sengit antara Quiles dan Perrone sudah pun mencuri tumpuan dengan perubahan kedudukan berlaku seawal pusingan ke- 3. Perrone mengambil alih di selekoh 5 selepas kesilapan Quiles, namun pelumba Sepanyol itu segera merampas kembali kedudukan di selekoh 9.
Situasi tegang itu membuka peluang untuk Muñoz merapatkan jurang kedudukan sebelum berjaya memintas Piqueras di pusingan ke- 4 sebelum mendaki ke kedudukan petak 2 dengan aksi berani di selekoh 9.
Namun drama lain tercetus pada pusingan ke- 6 apabila Scott Ogden (CIP Green Power) terjatuh di selekoh 15, menyebabkan Ryusei Yamanaka (FRINSA – MT Helmets – MSI) dan Marcos Uriarte (LEVELUP-MTA) tersasar ke laluan gravel.
Di pertengahan perlumbaan corak hampir sama seperti di Austria, Quiles mengetuai kelompok hadapan, diikuti Piqueras, Perrone dan Muñoz. Tetapi kesilapan di pusingan 10 mengheret Quiles jatuh dari Petak 1 ke Petak 4, memberi peluang Perrone untuk menguasai perlumbaan.
Dengan baki lima lagi pusingan, persaingan semakin genting apabila Muñoz naik ke Petak 2, Quiles memulihkan kedudukan ke Petak 3, manakala pendahulu kejuaraan José Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) berjaya mengejar kelompok utama di Petak 5.
Malang menimpa beberapa pelumba lain dengan Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) terjatuh dari kedudukan keenam di selekoh 11, manakala Taiyo Furusato (Honda Team Asia) turut tersingkir selepas terjatuh dari Petak 8 di selekoh 1.
Pasa pusingan terakhir, Quiles cuba melakukan serangan awal di selekoh 1 namun gagal. Di selekoh 5, pelumba Sepanyol itu mempunyai peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan dan kali ini usahanya berjaya. Perrone bagaimanapun tidak mengalah, membina momentum di sektor tiga dan membuat percubaan berani di selekoh terakhir.
Aksi itu hampir membuahkan hasil apabila dia seakan-akan sudah mendahului, namun Quiles dengan pecutan saat-saat akhir yang lebih kemas berjaya memintas semula di garisan penamat dengan kedua-duanya bergesel siku dalam mencuri mata penting.
Kemenangan ini menjadi kejayaan kedua Quiles musim ini, manakala Perrone meraih penamat terbaiknya setakat ini apabila meraih podium kedua dalam lima GP. Muñoz pula terus mempamerkan aksi konsisten dengan meraih podium kelima berturut-turut.
Berikut merupakan keputusan penuh Moto3 GP Hungary :
Baca juga:


