Nama David Alonso (CFMOTO Inde Aspar Team) kini terpahat dalam sejarah selepas menjadi pelumba Colombia pertama meraih kemenangan dalam kelas Moto2 semalam, sekali gus menamatkan penantian panjang negaranya di pentas dunia.
Aksi gemilang di Grand Prix Michelin Hungary itu turut melakar satu lagi rekod berprestij apabila Alonso mengetuai penamat 1-2 pertama dari benua Amerika Selatan, bersama pencabar kejuaraan, Diogo Moreira (Italtrans Racing Team) yang menamatkan saingan di tempat kedua.
Sejak awal perlumbaan, drama sudah tercetus apabila Jake Dixon (ELF Marc VDS Racing Team) meluru ke hadapan selepas memintas di selekoh kedua. Namun, insiden di kelompok belakang menyaksikan beberapa pelumba utama termasuk Celestino Vietti (Sync SpeedRS Team) dan Darryn Binder (Italjet Gresini Moto2) tersingkir seawal pusingan pertama.
Tidak lama selepas itu, Moreira mengambil alih sebagai pendahulu perlumbaan pada pusingan 4 dengan catatan masa terpantas. Gonzalez (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) turut memintas Dixon, sementara Alonso yang bermula dari kedudukan kelapan mula mempamerkan rentak konsisten dengan siri catatan selekoh terpantas.
Kemuncak perlumbaan hadir pada baki tiga lagi pusingan terakhir. Alonso yang ketika itu lebih pantas berbanding pendahulu mula menekan Gonzalez dan Moreira. Di pusingan ke- 21, Alonso memintas Moreira untuk Petak 2 (P2), sebelum melancarkan serangan terakhir pada pusingan penutup.
Aksi penuh berani itu tidak terhenti disitu apabila di selekoh 9, Alonso memintasi Gonzalez dengan pecutan kemas. Kesilapan kecil Gonzalez membuka peluang kepada Moreira merampas P2, menjadikan kedudukan akhir podium berpihak kepada Alonso,Moreira dan Gonzalez.
“Saya tidak percaya. Menang perlumbaan ini, dan menjadi pemenang pertama dari Colombia dalam Moto2, adalah impian yang menjadi nyata,” kata Alonso yang juga juara bertahan Moto3.
Dixon menamatkan perlumbaan di tempat keempat, hanya kurang satu saat di belakang Alonso, manakala Collin Veijer (Red Bull KTM Ajo) mencatat keputusan terbaiknya di Moto2 dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.
Aron Canet (Fantic Racing) pula sekadar di tempat keenam, kehilangan mata penting dalam perebutan gelaran.
Hasil di Balaton Park ini mengubah landskap kejuaraan Moto2. Alonso muncul rookie pertama yang menang dalam kelas Moto2 sejak Pedro Acosta, manakala Moreira dan Gonzalez terus menghidupkan persaingan sengit merebut gelaran dunia.
Baca juga:


