Aksi Maverick Viñales di Grand Prix (GP) Austria berakhir lebih awal selepas pelumba Red Bull KTM Tech3 itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan bahu kiri yang masih belum pulih sepenuhnya.
Viñales sebelum ini mengalami dislokasi bahu kiri dalam insiden di GP Jerman di Sachsenring. Pemeriksaan perubatan kemudiannya mengesahkan terdapat keretakan pada bahagian yang sama, sekali gus memaksanya berehat beberapa minggu sebelum kembali mencuba di Austria.
Bagaimanapun, usaha kemunculan semula yang digelar Top Gun itu ternyata terlalu awal. Selepas mengalami kesakitan berulang pada sesi Jumaat, Viñales tetap cuba beraksi dalam sesi kelayakan Q1 pagi Sabtu. Namun, kepedihan yang dialami semakin memudaratkan sehingga memaksanya menamatkan perlumbaan lebih awal.

Menerusi kenyataan di media sosial, pasukan Red Bull KTM Tech3 memaklumkan:
“Walaupun dia cuba sekali lagi pagi ini, kesakitan pada bahu kiri terlalu kuat. Pemeriksaan perubatan kemudian mengisytiharkan @maverick12official tidak layak meneruskan baki saingan GP Austria. Proses pemulihan masih berterusan dan kami berharap dapat melihatnya kembali di trek tidak lama lagi.”
Dengan penarikan diri ini, Viñales perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan bagi memastikan beliau benar-benar cergas untuk pusingan seterusnya dalam kalendar MotoGP 2025.
Setakat ini, kedudukan Maverick Viñales dalam carta kejuaraan MotoGP 2025 kekal di tangga ke-12 dengan kutipan 69 mata. Walaupun prestasinya terjejas akibat kecederaan bahu yang dialami di Sachsenring, pelumba Red Bull KTM Tech3 itu masih berada dalam kelompok pertengahan pelumba terbaik dunia, dan berpeluang memperbaiki kedudukannya sekiranya kembali cergas menjelang baki perlumbaan musim ini.
Baxa juga:


