Motosikal berada di ambang evolusi elektronik di Grand Prix Austria dengan pengenalan sistem kawalan kestabilan (stability control) yang pertama kali digunakan dalam MotoGP, menjadikan keselamatan pelumba semakin diberi keutamaan.
Apakah sistem stability control?
Sistem ini bekerja melalui unit kawalan elektronik (ECU) piawai yang dibekalkan oleh Marelli. Berbeza dengan kawalan cengkaman (traction control) yang hanya mengesan tayar berputar, “stability control” atau “slide control” memantau pelbagai parameter termasuk gerakan sisi (slide angle) dan kelantangan senget (lean angle) sebelum memutuskan untuk mengurangkan tork enjin bagi mengurangkan keadaan tergelincir. Ini amat berguna ketika motosikal dalam posisi “lean” yang tinggi, di mana traction control asal sering gagal bertindak tepat.
Bagaimana ia berbeza dengan traction control?
- Traction Control: Reaktif – bertindak selepas tayar mula berputar secara berlebihan.
- Stability Control: Proaktif dan lebih pintar -mencegah tergelincir terlampau dengan memahami keseluruhan dinamik motosikal. Ini dijangka mengurangkan insiden “highside” yang serius, di mana tayar kembali mencengkam secara tiba-tiba ketika slide, menyebabkan pelumba tercampak.
Sistem ini telah dibincangkan sejak insiden besar yang menimpa Pol Espargaró di Valencia pada 2021, di mana kekurangan kawalan slide jelas terlihat. Selepas itu, desakan dari pelumba dan pengeluar mendorong pembangunan sistem keselamatan ini. Kini, hasil kolaborasi antara MotoGP, Marelli (pembekal ECU), dan MSMA (Manufacturers’ Association) telah membolehkan sistem ini diperkenalkan secara rasmi pada pusingan Austria ini.
Menurut pengumuman rasmi, kebanyakan pasukan dijangka menggunakan kemas kini sistem ini di Austria. Setiap pasukan bebas memilih versi perisian yang dibenarkan di setiap Grand Prix, dan versi terkini dengan kawalan kestabilan akan tersedia bagi segala pasukan.
Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, mengakui teknologi ini mampu membantu pasukannya mendekati prestasi pengeluar lain.
“Dalam kes Aprilia, ia boleh membantu. Kami sedang berusaha untuk meningkatkan prestasi dan ini boleh membantu kami cuba mengejar pengeluar lain,” katanya pada sidang media pra-acara di Austria semalam.
Kenyataan Bezzecchi itu memberi gambaran jelas bahawa sistem elektronik seperti stability control mampu merapatkan jurang prestasi antara pasukan pengeluar. Dalam era MotoGP moden, faktor teknikal memainkan peranan besar dalam menentukan kelajuan dan kestabilan jentera, terutamanya di selekoh berkelajuan tinggi.
Apabila teknologi ini digunakan secara menyeluruh, ia dapat membantu pasukan seperti Aprilia mengurangkan kelemahan mekanikal berbanding pengeluar dominan seperti Ducati atau KTM. Namun, pada masa yang sama, ia juga sedikit mengurangkan peranan kemahiran individu pelumba kerana teknologi mampu “menutup” jurang keupayaan dalam mengawal motosikal ketika tergelincir menjadikan perlumbaan lebih setara dari sudut prestasi jentera, tetapi mungkin mengurangkan elemen keunikan gaya tunggangan setiap pelumba.
Dengan pengenalan sistem ini, GP Austria 2025 bukan sekadar medan persaingan biasa, tetapi juga titik permulaan era baharu dalam evolusi teknologi keselamatan MotoGP. Persoalannya kini sejauh mana sistem ini akan mengubah dinamik perlumbaan dan peranan kemahiran pelumba di trek?
Baca juga:


