Maverick Vinales terpaksa akur kehilangan podium pertama musim ini apabila keputusan perlumbaan utama MotoGP Qatar pada awal pagi tadi menyaksikan beliau dikenakan penalti selepas didapati gagal mematuhi peraturan tekanan tayar.
Pelumba Tech3 itu sebelum ini mengejutkan ramai pihak apabila melonjak dari petak keenam untuk memimpin perlumbaan, menewaskan Marc Marquez buat seketika sebelum bintang Ducati itu kembali mendahului.
Vinales pada mulanya diraikan sebagai pemenang tempat kedua, pencapaian terbaiknya bersama KTM dan pertama kali berada dalam kelompok 10 terbaik dengan jentera RC16.
Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila siasatan selepas perlumbaan mendapati tekanan tayar Vinales berada di bawah had minimum yang dibenarkan untuk sekurang-kurangnya 60% daripada jumlah pusingan perlumbaan.
Akibatnya, beliau dikenakan penalti masa sebanyak 16 saat, merupakan satu hukuman standard bagi kesalahan tersebut.
Penalti itu turut menyebabkan kedudukan Vinales jatuh dari tempat kedua ke tempat ke-14, sekali gus menaikkan Franco Morbidelli ke kedudukan ketiga di belakang dua jentera Ducati yang dipandu oleh Marc Marquez dan Francesco Bagnaia.
Menurut analisis, tekanan tayar rendah tersebut mungkin berpunca daripada strategi awal pasukan yang menjangkakan Vinales akan menghabiskan sebahagian besar perlumbaan di belakang jentera lain, namun sebaliknya beliau mendahului perlumbaan selama lima pusingan sekaligus menjadikan tekanan tayar pelumba itu terlalu rendah untuk tempoh tersebut.
Walaupun menghadapi risiko penalti, Vinales sebelum keputusan rasmi itu diumumkan sempat berkata demikian :
“Saya hanya fokus ke hadapan, saya tak sempat fikir. Saya tak kisah apa yang akan berlaku, sebab bagi saya kami sudah dapat tempat kedua,” ungkapnya.
Berbeza dengan insiden musim lalu di Indonesia yang melibatkan pelumba KTM, Pedro Acosta yang berdepan tekanan tayar menurun akibat kebocoran rim. Namun, tiada keadaan mitigasi sedemikian yang ditemukan dalam kes Vinales kali ini.
Baca juga: