Di Giannantonio Kekal Terbuka Soal Masa Depan

Spekulasi perpindahan pelumba terus mencuri tumpuan dalam silly season MotoGP 2026, dengan dua nama besar Alex Marquez dan Fabio Di Giannantonio menjadi perhatian ketika sesi sidang media selepas Grand Prix Sepanyol di Jerez baru-baru ini.

Kedua-dua pelumba itu ditanya mengenai khabar angin yang mengaitkan mereka dengan perpindahan ke pasukan KTM bagi musim akan datang, namun Di Giannantonio tampil dengan pendekatan jujur dan terbuka mengenai situasi semasanya.

Pelumba dari Pertamina Enduro VR46 Racing Team itu menjelaskan bahawa masa depannya masih belum diputuskan, malah mengakui dirinya berada dalam situasi yang hampir sama seperti musim 2023 dimana beliau masih tanpa sebarang kontrak yang dimuktamadkan setakat ini.

“Saya sentiasa mahu jujur tentang perkara ini. Saya tidak mahu bermain dengan spekulasi. Saya bersyukur dengan apa yang saya lalui sekarang. Kami melakukan kerja yang sangat baik di litar, dan untuk masa depan, saya mengakui ada beberapa pasukan yang berminat dan itu sudah cukup buat saya gembira,” katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa segala kemungkinan masih terbuka.

“Secara jujurnya, semuanya masih terbuka. Saya dan pasukan tahu keutamaan kami, dan kami juga sudah menyatakannya kepada pihak yang berminat. Tetapi buat masa ini, tiada apa yang boleh saya sahkan,” tambahnya.

Fokus Kepada Perlumbaan, Bukan Spekulasi

Walaupun khabar angin semakin hangat, Di Giannantonio menegaskan keutamaan utamanya ketika ini adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada musim 2026. Ketika ini, beliau berada di kedudukan ketiga dalam kejuaraan dunia menjelang Grand Prix Perancis satu pencapaian yang mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba paling konsisten musim ini.

Menurutnya, terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai masa depan, apatah lagi ketika musim masih berjalan.

“Masih terlalu awal. Kita masih ada banyak masa. Bayangkan jika saya umumkan akan berpindah, tetapi masih perlu bekerja dengan pasukan sekarang ia tidak baik dari sudut kemanusiaan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan suasana harmoni dalam pasukan, selain menyeru agar fokus diberikan kepada aksi di litar berbanding spekulasi luar.

“Selagi saya memakai warna ini, ini adalah pasukan terbaik dan jentera terbaik buat saya. Kita semua perlu fokus kepada apa yang berlaku di atas litar kerana di situlah aksi sebenar berlaku,” katanya.

Setakat ini, hanya beberapa kerusi untuk musim 2027 telah disahkan, termasuk Marco Bezzecchi yang telah memperbaharui kontraknya bersama Aprilia Racing. Selain itu, Johann Zarco dan Diogo Moreira dilaporkan mempunyai perjanjian bersama Honda, manakala Ai Ogura bakal meninggalkan Trackhouse MotoGP Team dan Alex Rins akan berpisah dengan Yamaha selepas tiga musim.

Dengan banyak kerusi masih kosong, pasaran perpindahan pelumba dijangka terus rancak dalam beberapa bulan akan datang. Namun bagi Di Giannantonio, keutamaan kekal jelas untuk memberi fokus kepada prestasi di litar dan membiarkan masa depan ditentukan kemudian.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related