Martin akui berdepan ujian berat

Musim pertama Jorge Martin bersama Aprilia jelas tidak begitu menyebelahinya apabila terpaksa berdepan cabaran yang cukup getir.

Selepas mengalami kecederaan pada hari pertama ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) tempoh lalu, yang turut memaksa beliau menjalani pembedahan dan terlepas baki sesi ujian tersebut, juara dunia bertahan itu sekali lagi ditimpa malang hanya beberapa hari sebelum perlumbaan pembukaan musim.

Ketika menjalani sesi latihan, Martin mengalami kemalangan yang menyebabkannya patah tulang di tangan kirinya yang turut merupakan kecederaan berasingan daripada yang dialaminya di Sepang. Sekali lagi, beliau terpaksa menjalani pembedahan, yang dilaporkan berjaya dilaksanakan semalam.

Namun, insiden ini bermakna perlumbaan pembuka musim di Thailand akan berlangsung tanpa kehadiran juara dunia 2024 itu di atas grid.

Buat pertama kali selepas kecederaan terbaharunya, Martin tampil membuat kenyataan umum, menegaskan bahawa walaupun diuji dengan dugaan besar, dia tidak akan menyerah kalah.

Ujian dalam hidup memang sukar, tetapi apabila ia datang berturut-turut, impaknya berlipat kali ganda. Kali ini, cabaran yang saya hadapi sangat berat, baik dari segi fizikal mahupun mental. Buat pertama kalinya dalam hidup, saya terpaksa terlepas perlumbaan pembukaan musim,” kata Martin dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya.

“Tahun ini tidak bermula seperti yang saya harapkan. Pada hari Isnin, ketika kembali menjalani latihan selepas kemalangan di Sepang untuk mempersiapkan diri bagi GP Thailand, saya mengalami insiden ‘highside’ yang menyebabkan empat lagi tulang saya patah, selain tiga kecederaan yang saya alami dua minggu lalu.

“Namun satu perkara yang pasti, setiap cabaran boleh diatasi. Saya tidak tahu jika ujian ini akan menjadikan saya lebih kuat, tetapi saya yakin bahawa saya akan bangkit, seperti yang saya selalu lakukan. Matlamat utama saya sekarang adalah untuk pulih sepenuhnya agar saya dapat kembali berlumba dan menikmati minat saya iaitu motosikal. Perlumbaan mungkin banyak, tetapi tangan saya hanya satu.

“Terima kasih kepada Aprilia kerana sentiasa menyokong saya, kepada keluarga saya, semua peminat, dan setiap individu yang memberi saya semangat setiap hari. Saya amat menghargainya,” tambahnya.

Dengan ketiadaan Martin, pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori, akan menggantikan tempatnya di pusingan pembukaan musim ini. Peminat dan pasukan tentunya berharap agar Martin segera pulih dan kembali ke litar dalam masa terdekat.

Baca juga :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related