Pelumba Aprilia yang juga juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin, telah berjaya menjalani pembedahan di Barcelona selepas mengalami kemalangan ketika sesi latihan, sekali gus terpaksa menarik diri daripada aksi pembukaan musim, Grand Prix Thailand 2025.
Pelumba berusia 27 tahun itu dilaporkan mengalami patah pada tangan kiri ketika giat menjalani persiapan menjelang perlumbaan pertama musim ini. Insiden tersebut menjadi satu lagi cabaran buat Martin, yang sebelum ini turut diketepikan daripada sebahagian besar ujian pramusim akibat kecederaan lain sewaktu di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS awal bulan lalu.
Bagaimanapun, pasukan Aprilia mengesahkan bahawa pembedahan Martin telah berjalan dengan lancar, dan dia kini berada dalam keadaan stabil.
“Jorge Martin telah menjalani pembedahan pada bahagian tangan kirinya di Klinik Dexeus, Barcelona, yang dikendalikan oleh Profesor Mir dan pasukannya. Prosedur ini berjaya diselesaikan dengan pemasangan dua skru pada bahagian patah radius serta satu skru pada tulang skafoid kiri bagi menstabilkan dan mempercepatkan proses pemulihan.
“Pembedahan ini dilakukan menggunakan kaedah perkutaneus dengan bantuan artroskopi. Dalam beberapa hari akan datang, tahap pemulihan Martin akan dinilai berdasarkan perkembangan klinikalnya,” menurut kenyataan rasmi Aprilia.
Aprilia turut mengesahkan bahawa kecederaan tangan yang dialami pelumba Sepanyol itu bukan pada tangan yang sama yang cedera ketika ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) sebelum ini.
Dalam pada itu, dengan ketiadaan Martin di pusingan pembuka musim, Aprilia telah mengesahkan bahawa Lorenzo Savadori akan menggantikan tempatnya di GP Thailand.


