Marco Bezzecchi raih kemenangan Sprint pertama bersama Aprilia

Marco Bezzecchi meraih kemenangan sulungnya dalam perlumbaan Sprint sebagai pelumba Aprilia pada Grand Prix San Marino selepas Marc Marquez terjatuh sejurus mengambil alih kedudukan pendahulu, sebentar tadi.

Perlumbaan separuh jarak di Misano itu menyaksikan Bezzecchi dan Marquez bersaing rapat, sebelum juara dunia enam kali itu mendahului pada pusingan keenam daripada 13. Namun, kesilapan yang jarang sekali berlaku daripada Marquez yang menyebabkan beliau terjatuh di selekoh 15 dan terpaksa meninggalkan perlumbaan, sekali gus menamatkan rekod lapan kemenangan Sprint berturut-turut sejak dari GP Sepanyol.

Seawal perlumbaan bermula, Alex Marquez membuat pecutan terbaik dari barisan hadapan, tetapi Bezzecchi yang bermula dari petak utama (pole position) enggan menyerah kalah dan segera menghalang kemaraannya di selekoh pertama.

Tidak lama kemudian, Marc Marquez pantas menyusul dengan memintas adiknya untuk mencuri tempat kedua, meninggalkan Fabio Quartararo di belakang.

Bezzecchi pada mulanya mampu mengekalkan jarak, namun kesilapan kecil di selekoh 14 membuka ruang kepada Marc untuk menyerang kelemahan yang dapat diintai ketika itu. Pelumba Ducati Lenovo itu segera merampas kedudukan pendahulu di selekoh keenam.

Namun, Marc yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang persaingan antara pelumba-pelumba barisan hadapan tidak berakhir dengan keputusan yang memberangsangkan apabila dia gagal mengekalkan kedudukan selepas hanya beberapa selekoh.

Kesilapan di bahagian hadapan jentera menyebabkan beliau terjatuh dan sekaligus memberi ruang kepada Bezzecchi untuk mempimpin perlumbaan itu semula.Dari situ, Bezzecchi mengekalkan rentak konsisten sehingga ke garisan penamat, sekaligus menamatkan dominasi Ducati dalam perlumbaan sprint sejak GP Catalonia 2024 yang dimenangi Aleix Espargaro bersama Aprilia.

Alex Marquez pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Fabio di Giannantonio (VR46 Racing) melengkapkan podium dengan kedudukan ketiga yang juga merupakan podium kedua berturut-turut dalam aksi sprint.

Franco Morbidelli mengekori rapat rakan sepasukan VR46 di tempat keempat, diikuti bintang muda KTM, Pedro Acosta, yang bangkit cemerlang selepas terjatuh dalam sesi kelayakan untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Fermin Aldeguer (Gresini Racing) turut mencuri tumpuan apabila naik dari petak ke-10 ke kedudukan keenam, mengatasi pelumba Honda terbaik, Luca Marini, serta Juara Bertahan Jorge Martin (Aprilia). Raul Fernandez (Trackhouse Racing) melengkapkan senarai pungutan mata di tempat kesembilan.

Sebaliknya, Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo) terus berdepan hujung minggu yang sukar apabila terperosok ke kedudukan ke-13 selepas bermula dari petak kelapan. Quartararo pula gagal menamatkan perlumbaan apabila terjatuh daripada kedudukan keempat pada pusingan kelima, manakala rakan sepasukan baharunya, Augusto Fernandez, sekadar menamatkan saingan di tempat ke-18.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related