Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Marc Marquez ukir sejarah baru

Nama Marc Marquez dan rekod dalam MotoGP ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Selepas meraih kemenangan dramatik di Grand Prix Qatar hujung minggu lalu, pelumba Ducati Lenovo Team itu kembali mencuri perhatian apabila berjaya menyamai beberapa pencapaian bersejarah milik legenda-legenda sukan MotoGP, termasuk rakan sepasukan dan senegaranya.

114 Podium MotoGP, 153 Podium Keseluruhan

Kejayaan di Qatar bukan sekadar memberinya kelebihan dalam perebutan gelaran dunia musim 2025, malah turut melonjakkan namanya ke kedudukan eksklusif dalam senarai legenda MotoGP. Marquez kini menyamai jumlah podium MotoGP milik Jorge Lorenzo, dengan 114 podium keseluruhan dalam kelas perdana.

Lebih manis, pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu juga telah menyamai rekod Dani Pedrosa dengan 153 podium dalam semua kelas Grand Prix. Kini, hanya satu lagi podium diperlukan untuk menjadikan Marquez pelumba Sepanyol paling berjaya dari segi jumlah podium sepanjang zaman.

Dan tiada lokasi yang lebih sesuai untuk mengukir sejarah baharu selain di bumi kelahirannya sendiri, Jerez, Sepanyol pada minggu hadapan.

Menuju ke 100 Petak Utama

Marquez juga sedang menghampiri satu lagi pencapaian luar biasa dengan jumlah keseluruhan 100 kedudukan petak utama (pole) dalam kelas MotoGP. Setakat ini, juara dunia enam kali itu telah meraih 98 pole position, termasuk mengekalkan rekod sempurna 100 peratus pole musim ini. Dua lagi sudah cukup untuk menjadikan Marquez pelumba pertama dalam sejarah yang mencatat angka keramat tersebut.

Samai rekod Agostini & Rossi

Dengan 65 kemenangan dalam kelas premier, Marquez kini hanya tiga kemenangan lagi untuk menyamai rekod milik legenda Giacomo Agostini yang memiliki 68 kemenangan. Walaupun angka 89 milik Valentino Rossi masih jauh, prestasi semasa Marquez menunjukkan ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Secara keseluruhan, Marquez telah mencatat 91 kemenangan Grand Prix sepanjang kariernya. Kemenangan ke-93 merupakan satu simbolik kepadanya memandangkan nombor motosikalnya ialah #93 dan kini hanya tinggal dua kemenangan lagi sebelum beliau meraih kejayaan tersebut. Jika dia mampu menambah sembilan lagi kejuaraan, Marquez akan menyertai kelab eksklusif “100 Grand Prix Wins” bersama Agostini (122) dan Rossi (115).

Daripada gelaran dunia, ke podium dan kedudukan pole, Marquez terus membuktikan bahawa dia masih berbisa dan relevan dalam dunia perlumbaan moden. Berbekalkan jentera Ducati dan semangat juang yang tidak pernah luntur, lebih banyak sejarah dijangka bakal ditulis.

Jerez akan menjadi pentas seterusnya. Adakah podium ke-154 akan muncul di hadapan penyokong tempatan dan melakar satu lagi detik bersejarah dalam karier Marc Marquez? Sama-sama kita nantikan aksi yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related