Litar ikonik Circuito de Jerez, bekas tuan rumah Formula 1, telah dilanda banjir besar susulan cuaca ekstrem yang melanda Sepanyol baru-baru ini.
Hujan lebat luar biasa yang berterusan telah menyebabkan kerosakan teruk di beberapa kawasan di negara itu, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai kejohanan sukan permotoran.
Menurut laporan Racing News 365, perlumbaan MotoGP yang dijadualkan berlangsung di Jerez bulan depan kini berdepan ketidakpastian, memandangkan keadaan litar yang membimbangkan selepas dilanda hujan lebat.
Rakaman video yang tular di media sosial pada malam Isnin turut memperlihatkan kawasan garisan permulaan dan penamat ditenggelami air, menggambarkan betapa dahsyatnya impak hujan lebat yang melanda Sepanyol.
Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, pemulihan segera diperlukan bagi memastikan perlumbaan MotoGP di Jerez dapat diteruskan seperti yang dijadualkan. Pihak berkuasa litar dan penganjur dimaklumkan sedang bertungkus-lumus menangani situasi ini dalam tempoh yang singkat bagi memastikan litar kembali selamat untuk perlumbaan.
Litar Jerez pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Sepanyol Formula 1 dari 1986 hingga 1990 sebelum menganjurkan Grand Prix Eropah dari 1994 hingga 1997. Walaupun hampir 28 tahun telah berlalu sejak kali terakhir F1 berlumba di sini, litar ini masih kekal sebagai lokasi pilihan untuk sesi ujian peribadi pelbagai pasukan.
Sebelum ini, pada penghujung tahun 2024, beberapa wilayah di Sepanyol mengalami banjir besar akibat hujan lebat luar biasa, menyebabkan perubahan jadual saat akhir bagi beberapa kejohanan.
Tahun lalu, MotoGP terpaksa memindahkan perlumbaan penutup musim dari Valencia ke Barcelona akibat kerosakan yang berpunca daripada banjir, selain bagi memastikan usaha bantuan bencana mendapat keutamaan. Formula E turut mengambil langkah serupa dengan mengalihkan ujian pramusimnya dari Valencia ke Madrid atas sebab yang sama.
Kini, dengan Jerez menghadapi ancaman serupa, semua pihak berharap usaha pemulihan dapat diselesaikan segera bagi memastikan perlumbaan MotoGP bulan depan dapat berlangsung seperti yang dirancang.
Baca juga :


