Sering dikaitkan dengan kehebatan dan prestasinya di litar perlumbaan, tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik kejayaan Francesco “Pecco” Bagnaia, tersembunyi sebuah kisah cinta yang indah perjalanan penuh kenangan bersama wanita yang kini bergelar isterinya, Domizia Castagnini. Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang membentuk siapa dirinya hari ini.
Di sebalik gelaran juara dunia dan sorakan di podium, tersimpan satu bab istimewa dalam hidup Pecco sebuah cerita cinta yang bermula jauh sebelum namanya gah meniti bibir peminat sukan permotoran di seluruh dunia.
Domizia dalam satu temubual berkongsi bahawa mereka mula berkenalan sekitar tahun 2016, tahun gemilang pertama buat Pecco ketika beliau memenangi dua perlumbaan bersama Mahindra sebelum berpindah ke Team Sky, di mana beliau kemudian menjulang gelaran juara Moto2.
“Kami berada dalam kumpulan rakan yang sama di Chivasso. Kami mula keluar bersama pada tahun 2016 dan telah tinggal bersama sejak 2019, sebelum Covid melanda,” cerita Domizia.
Domizia masih ingat dengan jelas janji temu pertama mereka. Pecco membawanya makan malam di sebuah restoran di Turin. Malam itu hujan turun, dan dalam perjalanan pulang, Pecco cuba menunjukkan skil memandu keretanya yang baru. Malangnya, dia hilang kawalan atas jalan berbatu dan mereka melanggar sebatang tiang.
“Dia cuma memusingkan stereng. Nasib baik kami tak cedera. Saya ketawa tak henti-henti, tapi Pecco betul-betul malu waktu tu. Sampai hari ni, ibu bapa saya tak tahu tentang kemalangan tu. Mereka ingat datuk Pecco, Antonio, yang rosakkan tayar kereta!” kata Domizia sambil ketawa.
Kini, ironi dari insiden itu cukup lucu lelaki yang dulu terlanggar tiang kini juara dunia MotoGP dan memandu BMW M3 hadiah hasil daripada jumlah kedudukan petak utama yang berjaya dikumpulnya.
Domizia juga turut berkongsi mengenai hubungan rapatnya bersama Carola Bagnaia, kakak Pecco yang juga merupakan pembantu peribadinya di Ducati.
“Kami dah kenal sejak sekolah menengah lagi. Kami ke sekolah sama dan terus jadi rapat. Pecco dan saya dulu lepak dengan dua kumpulan kawan berbeza, tapi bila kami mula bercinta, dua-dua kumpulan terus berkawan rapat dan menjadi satu kumpulan sehingga kini.” jelas Domizia.
Apabila ditanya tentang detik paling mencabar dalam hubungan mereka, Domizia menyebut tentang permulaan karier MotoGP Pecco yang tidak semudah disangka.
“Tak ada satu momen buruk yang betul-betul teruk, tapi mungkin masa tahun 2019 dan 2020 ketika dia bersama pasukan Pramac. Waktu tu agak sukar sebab keputusan perlumbaan tak memihak padanya, dan dia agak tertekan. Tapi kami tetap saling menyokong antara satu sama lain. Mungkin itulah rahsia kami harungi semuanya bersama.
Daripada detik lucu dalam kereta hingga saat mendaki podium dunia, kisah cinta Pecco dan Domizia membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya bergantung pada bakat, tetapi juga sokongan daripada orang yang kita sayang.
Pecco Bagnaia dan Domizia Castagnini mengikat tali perkahwinan pada 20 Julai 2024 dalam satu majlis indah yang berlangsung di Itali. Dikelilingi keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat, pasangan ini diraikan dalam suasana romantik dan penuh emosi, menandakan satu lagi bab baharu dalam kisah cinta mereka yang telah terjalin sejak tahun 2016. Majlis perkahwinan mereka turut mencuri tumpuan peminat MotoGP di seluruh dunia, yang teruja melihat sisi peribadi juara dunia itu bersama wanita yang telah setia menyokongnya sejak dari awal karier.
Baca juga:


