Marc Marquez Alenta bukan sahaja dikenali sebagai pelumba sensasi yang telah meraih enam gelaran juara dunia MotoGP, malah beliau turut mencipta sejarah tersendiri menerusi kejayaan luar biasa dalam sesi kelayakan.
Dari tahun 2013 hingga 2019, Pelumba kelahiran Sepanyol itu telah turut memahat namanya dalam sejarah sukan permotoran apabila memenangi anugerah BMW M Award selama tujuh musim berturut-turut, satu pencapaian yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pelumba lain.
Sebagai ganjaran, beliau turut menerima satu model BMW M baharu setiap tahun yang turut menjadikan koleksi kenderaan prestasi tingginya kini antara yang paling unik dalam dunia sukan permotoran.
Pada tahun 2013, selaku pelumba rookie, Marquez memenangi anugerah tersebut buat kali pertama dan membawa pulang sebuah BMW M6 Coupe berwarna hitam. Tahun berikutnya, konsistensi prestasinya membolehkan beliau menerima sebuah BMW M4.

Walaupun gagal meraih kejuaraan dunia pada tahun 2015, Márquez tetap muncul sebagai pelumba terbaik dalam kelayakan dan dianugerahkan sebuah BMW M6 Convertible.

Tahun 2016 menyaksikan Márquez menambah sebuah BMW M2 Coupe ke dalam koleksinya, manakala pada tahun 2017, beliau menerima BMW M4 CS, salah satu model yang paling diminati dalam barisan kereta BMW M ketika itu.

Dominasi beliau berterusan pada tahun 2018 dengan penerimaan BMW M3 CS, sekaligus melengkapkan variasi sedan berprestasi tinggi dalam garajnya. Tahun terakhir beliau menerima anugerah tersebut, 2019, Márquez dihadiahkan BMW X4 M Competition, sebuah SUV berkuasa tinggi yang menjadi tambahan istimewa kepada koleksinya.

Koleksi tujuh buah kereta BMW M ini bukan sahaja mencerminkan dominasi luar biasa Márquez dalam kategori kelayakan MotoGP, bahkan turut menjadi simbol penghargaan BMW terhadap prestasi luar biasa pelumba Sepanyol itu. Gabungan keupayaan teknikal BMW M dan kehebatan Márquez di litar menjadikan koleksi ini sebagai lambang kejayaan dan dedikasi yang tiada tandingan dalam dunia perlumbaan.

Koleksi BMW M Márquez:
- 2013 – BMW M6 Coupe
- 2014 – BMW M4
- 2015 – BMW M6 Convertible
- 2016 – BMW M2 Coupe
- 2017 – BMW M4 CS
- 2018 – BMW M3 CS
- 2019 – BMW X4 M Competition
Koleksi ini bukan sahaja mencerminkan dominasi Márquez dalam sesi kelayakan MotoGP, tetapi juga menunjukkan penghargaan BMW terhadap prestasi cemerlangnya.

Sumber: Top Gear


