Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTM, Stefan Pierer, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (Co-CEO), Gottfried Neumeister mengumumkan rancangan komprehensif kepada lebih 5,000 pekerja syarikat untuk menghadapi cabaran kewangan semasa dan memastikan masa depan yang lebih kukuh pada Selasa.
Dalam ucapan, Stefan menyatakan KTM akan memulakan proses penstrukturan semula secara undang undang bagi pengurusan kendiri dengan permohonan akan dibuat pada 29 November ini dengan sasaran yang diletakkan untuk menyelesaikan proses dalam tempoh 90 hari.
“Sepanjang tiga dekad yang lalu, KTM telah berkembang menjadi pengeluar motosikal terbesar di Eropah. Kami menginspirasi jutaan penunggang motosikal di seluruh dunia dengan produk kami. Kini, kami mengambil ‘pit stop’ untuk memastikan masa depan syarikat. Jenama KTM adalah hasil kerja hidup saya, dan saya akan berjuang menjadi yang terbaik.
“Gottfried Neumeister membawa pengalaman yang mengagumkan dan semangat baru yang telah banyak menyumbang dalam menangani situasi semasa. Saya yakin bahawa bersama-sama, kami akan membawa syarikat ini kembali ke landasan kejayaan.
Dalam pada itu, Neumeister yang juga merupakan Co-CEO kepada KTM turut menyatakan keyakinannya bahawa KTM ketika ini berada dalam landasan yang tepat.
“Yang paling penting ketika ini, saya dapat lihat semangat pekerja kami yang begitu kompetitif. Keghairahan mereka merupakan sebab utama KTM dikenali di seluruh dunia sebagai simbol prestasi tinggi. Kini, tugas kami adalah untuk menjadikan syarikat ini lebih kukuh dan berdaya tahan untuk masa depan.
“Dengan itu, kami dapat kembali fokus kepada apa yang kami lakukan terbaik iaitu dengan membina motosikal paling hebat di dunia,” katanya.
KTM, yang bermula dengan hanya 160 pekerja dan menghasilkan 6,000 unit motosikal pada tahun 1992, kini mampu mengeluarkan sehingga 1,000 motosikal setiap hari.
Namun, syarikat KTM ketika ini dilaporkan sedang mengalami cabaran besar yang harus diberikan fokus yang lebih mendalam untuk memulihkan semula prestasi jenama motor ini untuk menjadi yang terbaik didunia.