Rueda kukuhkan kedudukan

Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) mencipta kemenangan dramatik dan bergaya di Grand Prix Tissot UK apabila menjuarai perlumbaan dari petak belakang sekaligus memberikannya kemenangan ketiga berturut-turut dalam musim Moto3.

Dengan kemenangan ini, pendahulu kejuaraan itu kini semakin mengukuhkan kedudukannya di puncak carta, sambil turut menyertai senarai eksklusif pelumba yang pernah memenangi perlumbaan bermula dari petak belakang.

Antara pelumba yang turut berada dalam senarai, Marc Marquez pada perlumbaan di Valencia pada tahun 2012 dalam kategori Moto2, Brad Binder di perlumbaan Jerez pada tahun 2016, bagi kategori Moto3 dan David Alonso di Grand Prix Silverstone pada tahun 2023 untuk Moto3.

Rueda pada asalnya meraih petak utama dalam sesi kelayakan, namun dikenakan penalti selepas didapati terlalu perlahan di atas litar selepas mencatat masa terbaiknya dalam Q2. Walaupun bermula di belakang, penalti itu langsung tidak memberikan sebarang halangan untuk dia bangkit dengan penuh bergaya.

Namun perlumbaan itu bukanlah satu perjalanan mudah. Pendatang baharu Maximo Quiles (CFMoto Valresa Aspar Team) memberikan saingan sengit kepada Rueda hingga ke selekoh terakhir meskipun terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua.
Namun ini juga merupakan podium pertamanya dalam karier Moto3, satu pencapaian membanggakan bagi pelumba rookie itu. Luca Lunetta (SIC58 Squadra Corse) melengkapkan podium di tempat ketiga selepas berjaya bangkit daripada penalti Long Lap yang dikenakan susulan insiden bersama David Muñoz (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP).

 “Saya sangat gembira dengan keputusan yang kami raih, dengan usaha dan kerja yang kami temui untuk memenangi perlumbaan ini. Masa saya tiba disini, saya dapat merasakan set-up yang telah dilakukan mampu membantu saya untuk memenangi perlumbaan ini,” katanya.

Sorotan perlumbaan Moto3 GP British

Di awal perlumbaan, Rueda bermula dengan baik apabila berjaya memotong beberapa pelumba sebaik sahaja di selekoh 1, namun rakan sepasukannya, Alvaro Carpe, mengambil alih ‘holeshot’ dan memimpin perlumbaan.

Ketika itu, Rueda masih jauh di belakang tetapi terus berusaha menembusi kelompok hadapan.

Pada selekoh ke-3, Rueda sudah mula menyertai kelompok depan dan menjelang selekoh 4, dia mula memotong satu demi satu pelumba. Dengan baki lima pusingan, Rueda berjaya masuk ke dalam lima teratas dan mula mencabar kedudukan pendahulu. Tak lama selepas itu, dia memimpin perlumbaan.

Namun saingan daripada Quiles memastikan kemenangan itu bukan semudah ‘tarik dan lari’. Pelumba muda itu terus menekan Rueda hingga ke penghujung perlumbaan, dan segalanya ditentukan di selekoh terakhir.

Mereka bersaing sengit dari Hangar Straight hingga ke chicane terakhir, dan di situlah Quiles sedikit tersasar sekaligus membuka peluang untuk Rueda mencelah di bahagian dalam dan memintas untuk meraih kemenangan dramatik di garisan penamat.

Walaupun sekadar di tempat kedua, pencapaian Quiles tetap luar biasa bagi pelumba rookie tersebut. Lunetta pula berjaya menebus kesilapan awal dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Pelumba lain yang menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas termasuk Carpe, Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3), David Almansa (Leopard Racing), Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP), Ryusei Yamanaka (FRINSA – MT Helmets – MSI), Vicente Perez (LEVELUP-MTA) dan Nicola Carraro (Rivacold Snipers Team).

Insiden antara Taiyo Furusato (Honda Team Asia) dan Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI) menyebabkan Furusato dikenakan penalti Long Lap manakala Piqueras terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal akibat terjatuh.

Scott Ogden (CIP Green Power) menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 di halaman sendiri, diikuti oleh Furusato (P12), Jacob Roulstone (Red Bull KTM Tech3), Cormac Buchanan (DENSSI Racing – BOE) dan Riccardo Rossi (Rivacold Snipers Team) yang melengkapkan senarai pengutip mata.

Kredit : MotoGP

Kemenangan luar biasa dari belakang ini menegaskan lagi potensi Jose Antonio Rueda untuk menamatkan musim sebagai juara dunia Moto3.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related