Kalendar MotoGP 2026

Musim 2026 bakal menjadi antara musim paling menarik dalam sejarah MotoGP apabila kalendar rasmi perlumbaan diumumkan merangkumi 22 Grand Prix di lima benua dari bulan Februari hingga bulan November. Gabungan perlumbaan ikonik, destinasi baharu serta jadual yang seimbang menjanjikan aksi mendebarkan buat jutaan peminat di seluruh dunia.

Antara berita paling hangat dalam kalendar 2026 ialah kepulangan MotoGP ke Brazil, satu pasaran penting yang telah lama dinantikan. Kota Goiania, ibu negeri Goiás yang penuh warna-warni, akan menjadi tuan rumah pusingan kedua musim ini pada akhir Mac. Persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan penganjuran kali ini menjadi acara bertaraf dunia.

Seperti tradisi, perlumbaan pembukaan akan berlangsung di bawah lampu malam Lusail, Qatar, sebelum karavan MotoGP menuju ke benua Eropah.

Beberapa litar popular akan beralih tarikh bagi tahun 2026 dengan Austria menjadi medan sebelum aksi di pusingan luar Eropah bermula, dijadualkan pada September. Aksi GP Brno di Republik Czech pula kembali semula pada bulan Jun dan GP Hungary di Balaton Park bakal berlangsung sebelum GP Brno, menjadikan penganjuran GP di Eropah Tengah lebih padat dengan perlumbaan pada musim depan.

Selepas pusingan di Sachsenring, Jerman, seluruh paddock akan menikmati rehat musim panas selama tiga minggu sebelum perlumbaan kembali dengan penuh gaya di Silverstone, UK, ketika musim panas sedang memuncak.

Dua hujung minggu rehat turut dimasukkan sebelum aksi kembali di MotorLand Aragon, Sepanyol pada hujung Ogos. Manakala, struktur bahagian akhir musim 2025 dikekalkan dengan aksi Motegi, Jepun berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober dan diikuti aksi di Mandalika, Indonesia seminggu selepas itu dengan Litar Lombok sebagai pentas pelumba menunjukkan kehebatan mereka.

Kredit : MotoGP

Selepas rehat singkat, tumpuan terarah kepada dua pusingan penting hujung Oktober dengan litar kegemaran Martin, Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) Malaysia dan Philip Island, Australia menjadi destinasi pilihan sebelum aksi penutup musim di Portimao, Portugal dan Valencia, Sepanyol sebagai pentas terakhir untuk pelumba-pelumba meraih mata penting sebelum menjulang trofi Grand Prix 2026.

Selain daripada itu, aksi Pra-musim dan pelancaran musim 2026 turut menjadi antara aksi yang tumpuan selepas kejayaan pelancaran di Bangkok tahun ini. Dimaklumkan, sebuah lokasi baharu akan diperkenalkan dan bakal dijadikan hos acara pembukaan musim depan. Dijangka bakal menjadi satu pengenalan yang pasti gah dan dinanti-nantikan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related