Juara Dakar 2026, Luciano Benavides terus mengikat komitmen jangka panjang bersama KTM selepas menandatangani lanjutan kontrak baharu berbilang tahun menjelang aksi pusingan ketiga Kejuaraan Dunia FIM World Rally-Raid di Argentina.
Pengumuman itu sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang Benavides bersama KTM selepas tampil cemerlang dalam arena rally-raid sejak menyertai pasukan kilang tersebut.
Pelumba berusia 30 tahun itu mencipta sejarah awal tahun ini apabila meraih kemenangan sulung Dakar Rally 2026 selepas pertarungan sengit hingga ke peringkat terakhir, sebelum menewaskan pencabar dengan kelebihan hanya dua saat.
Kejayaan tersebut menambah lagi koleksi pencapaian besar Benavides selepas beliau sebelum ini menjuarai Kejuaraan Dunia FIM World Rally-Raid 2023.
Musim 2026 juga bermula cukup positif buat Benavides apabila kini mendahului kedudukan keseluruhan kejuaraan selepas dua pusingan pertama sambil terus memainkan peranan penting membantu kejayaan KTM dalam saingan rally-raid dunia.
Menerusi kontrak baharu itu, Benavides akan terus menunggang jentera KTM 450 RALLY bersama Red Bull KTM Factory Racing dalam usaha pasukan memburu lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Pelumba Argentina itu mengakui KTM sudah menjadi seperti keluarga kedua buat dirinya selepas bersama pengeluar Austria tersebut sejak awal karier rally-raidnya.
“Saya sangat gembira dapat meneruskan perjalanan bersama Red Bull KTM Factory Racing. KTM percaya kepada saya sejak awal karier rally saya ketika saya masih muda dan kurang pengalaman,” katanya.
“Mereka sentiasa memberi sokongan, motosikal terbaik dan semua yang saya perlukan untuk terus berkembang. Menang Dakar tahun ini adalah impian terbesar saya dan dapat menghadiahkannya kepada pasukan sangat bermakna.”
Menurut Benavides lagi, kemenangan Dakar telah meningkatkan lagi motivasinya untuk terus memburu lebih banyak kejayaan bersama KTM.
Pengurus pasukan rally KTM, Andreas Hölzl pula menyifatkan Benavides sebagai aset penting dalam projek rally mereka.
“Memiliki juara Dakar semasa dan bekas juara dunia dalam pasukan amat penting buat kami. Luciano bukan sahaja mempunyai pengalaman besar, tetapi juga mentaliti luar biasa dan sentiasa mahu berkembang,” katanya.
Saingan Kejuaraan Dunia FIM World Rally-Raid 2026 akan bersambung minggu ini menerusi Desafio Ruta 40 di Argentina yang berlangsung dari 24 hingga 29 Mei, dengan Benavides bakal beraksi di laman sendiri.


