Juara Dunia Moto3 2025, Jose Antonio Rueda, dilaporkan telah selamat menjalani pembedahan tangan kanan di Barcelona selepas mengalami kecederaan ketika Sighting Lap Grand Prix Malaysia minggu lalu.
Pembedahan itu dijalankan pada Isnin lalu oleh Dr. Xavier Mir di Klinik Dexeus, Barcelona. Dalam prosedur tersebut, beberapa plat logam telah dimasukkan ke ibu jari, tulang metakarpal ketiga dan keempat, serta pangkal tulang radius tangan kanan Rueda.
Menurut pasukannya, pelumba Red Bull KTM Ajo itu akan meneruskan proses pemulihan sepenuhnya bagi memastikan beliau bersedia untuk menghadapi musim 2026 dengan kondisi terbaik.
Sebelum ini, Rueda terliba dalam satu insiden yang berlaku ketika sesi Sighting Lap akibat pelanggaran dengan pelumba Noah Dettwiler di selekoh ketiga Litar Antarabangsa Sepang sebelum perlumbaan utama bermula.
Pelanggaran dengan Dettwiler menyebabkan Rueda mengalami serangan jantung sementara di trek, dan beliau menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan helikopter.
Hasil pemeriksaan awal mengesahkan patah terbuka pada ibu jari dan dua tulang metakarpal tangan kanan, selain retak di pangkal radius serta beberapa kecederaan lain. Setelah disahkan tiada kecederaan serius dibahagian kepala dan dada, Rueda kemudian dipindahkan ke klinik swasta bagi pemerhatian lanjut terhadap lebam di rusuk dan paru-paru. Empat hari selepas dimasukkan ke hospital, beliau dibenarkan pulang ke Sepanyol pada Jumaat lalu.
Setibanya di Barcelona, Rueda dimasukkan ke Hospital Universitario Dexeus dan berada di bawah pemerhatian rapi sebelum pembedahan dilakukan pada Isnin berikutan pembengkakan pada tangan. Imbasan MRI turut menunjukkan retakan kecil pada tulang belikat (scapula), namun tidak memerlukan pembedahan hanya rawatan rehat sepenuhnya.
Menurut pasukan, pembedahan berjalan lancar dan Rueda kini sedang pulih di hospital yang sama. Beliau dijangka akan dibenarkan keluar dalam masa terdekat sebelum pulang ke Seville untuk meneruskan pemulihan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Pasukan Red Bull KTM Ajo turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses rawatan Rueda, termasuk Dr. Charte, pasukan perubatan MotoGP dan Litar Sepang, serta kakitangan di Hospital Kuala Lumpur dan Klinik Dexeus.
Mereka juga mengucapkan terima kasih atas sokongan besar daripada komuniti MotoGP termasuk pasukan lain, pelumba, organisasi dan peminat di seluruh dunia.
“Kami amat berbangga dengan Jose Antonio dan yakin beliau akan kembali lebih kuat selepas dugaan ini. Ia menutup musim terbaiknya dalam paddock MotoGP musim di mana beliau dinobatkan sebagai Juara Dunia buat kali pertama,” kata kenyataan rasmi pasukan.
Pasukan itu turut menyampaikan ucapan simpati dan doa kepada Noah Dettwiler, keluarganya, serta seluruh kru CIP Green Power yang turut terlibat dalam insiden tersebut, dengan harapan kedua-dua pelumba dapat pulih sepenuhnya dan kembali ke litar dalam masa terdekat.


