Kemenangan Marco Bezzecchi di Grand Prix Itali minggu lalu bukan sahaja menghadiahkan Aprilia kemenangan bersejarah di laman sendiri, malah turut meletakkan namanya sebaris dengan beberapa legenda perlumbaan Itali yang pernah menakluk Litar Mugello.
Pelumba Aprilia Racing itu menjadi pelumba Itali keenam dalam sejarah MotoGP yang berjaya memenangi perlumbaan Grand Prix Itali di Mugello, menyertai senarai eksklusif yang sebelum ini dianggotai Loris Capirossi, Valentino Rossi, Andrea Dovizioso, Danilo Petrucci dan Francesco Bagnaia.
Daripada senarai tersebut, Capirossi, Dovizioso dan Petrucci masing-masing hanya pernah meraih satu kemenangan MotoGP di Mugello, manakala Bagnaia memiliki tiga kemenangan. Valentino Rossi pula kekal sebagai pelumba paling berjaya di litar ikonik itu dengan tujuh kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
Lebih manis, kejayaan Bezzecchi turut menyaksikannya menjadi antara segelintir pelumba Itali yang berjaya memenangi GP Itali bersama jentera Itali di Mugello. Sebelum ini, pencapaian tersebut hanya pernah dicapai oleh Bagnaia, Dovizioso dan Petrucci bersama Ducati.
Kemenangan itu juga melengkapkan sejarah baharu buat Aprilia apabila menjadi pengeluar Itali kedua yang berjaya meraih kemenangan di Mugello menerusi pelumba tempatan.
Musim 2026 kini menjadi musim paling berjaya buat Aprilia dalam era MotoGP dengan lima kemenangan setakat ini. Empat daripadanya diraih oleh Bezzecchi manakala satu lagi disumbangkan Jorge Martin yang turut mencipta kemenangan berganda buat pasukan Noale di Le Mans.
Dalam masa sama, kemenangan Bezzecchi di Mugello turut menjadi kemenangan ke-299 buat pelumba Itali dalam sejarah kelas premier MotoGP.
Sementara itu, Ducati juga semakin hampir mencipta satu lagi pencapaian bersejarah apabila pasukan Ducati Lenovo Team kini mengumpul 99 kemenangan dalam MotoGP dan hanya memerlukan satu lagi kejayaan untuk mencapai angka 100 kemenangan.


