Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Jorge Martin sasar kembali beraksi di Qatar

Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin, kini sedang menghitung hari untuk kembali ke litar selepas menghadapi pramusim yang mencabar bersama Aprilia Racing.

Masalah kecederaan yang dialaminya telah mengganggu persiapan awalnya dan memaksanya untuk terlepas beberapa pusingan pembukaan musim 2025. Selepas mengumumkan ketidakhadirannya di Grand Prix Argentina dan Grand Prix Amerika Syarikat, Martin kini optimis untuk kembali berlumba di Grand Prix Qatar yang dijadualkan pada 11 hingga 13 April ini.

Dalam satu tembual bersama La Gazzetta dello Sport, Martin menyatakan harapannya untuk kembali di Lusail dan dalam masa yang sama beliau tidak mahu terburu-buru dan akan melalui proses pemulihannya dengan baik.

“Saya menjangkakan untuk berada di Qatar, tetapi hanya jika ia tidak berisiko. Saya akan melakukan pemeriksaan selepas Austin, saya rasa.”

“Ini adalah jangka masa yang perlu saya ikuti, dan akan menjadi satu kesilapan jika saya tergesa-gesa. Itu hanya akan membuatkan segalanya mengambil masa lebih lama,” katanya.

Martin kekal sabar dan yakin bahawa dia akan kembali lebih kuat bersama Aprilia. Sejajar dengan apa yang dinyatakan dalam wawancara bersama La Gazzetta dello Sport itu, Martin turut mengesahkan rancangannya dalam satu video yang dimuat naik ke media sosialnya.

Dalam video tersebut, dia berkongsi perasaan optimis terhadap proses pemulihannya.

“Ini adalah masa yang sangat sukar, tetapi kini saya mula melihat harapan.

Martin turut mengulangi niatnya untuk kembali di Grand Prix Qatar:

“Saya tidak akan berada di Austin. Perancangan saya adalah untuk berlumba di Qatar, tetapi belum ada kepastian. Saya benar-benar tidak sabar untuk kembali bersama pasukan saya, Aprilia, dan menunggang jentera yang luar biasa ini.

Musim 2025 telah bermula dengan cabaran besar buat Martin dengan terlepas ujian pramusim dan tiga pusingan pertama meletakkannya dalam kedudukan sukar untuk mempertahankan gelarannya. Tambahan pula, keperluan untuk menyesuaikan diri dengan jentera Aprilia menjadikan cabaran ini lebih getir.

Namun, peluang untuk mengumpul mata kejuaraan dunia masih terbuka luas. Dengan keupayaannya yang tidak boleh disangkal, pelumba Sepanyol itu dijangka bakal mencipta kejutan sebaik kembali ke tahap kecergasan terbaiknya, sekali gus mengendalikan RS-GP dengan penuh keyakinan untuk kembali memberikan saingan sengit di litar.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related