Jika anda tertanya-tanya apa penglibatan terbaru bekas pelumba kereta profesional negara, Jazeman Jaafar ini jawapannya.
Jazeman dilihat menghadiri Chinese GP di Shanghai International Circuit baru-baru ini. Menurut beliau, beliau memegang peranan sebagai Penasihat Standard Pemanduan (Driving Standards Advisor) untuk Porsche Carrera Cup Asia, dengan bekerjasama rapat bersama Porsche Motorsport Asia Pacific.
Dalam peranan ini, beliau turut berhubung secara langsung dengan Race Director, Race Control dan para Steward bagi memastikan standard tertinggi dari segi tingkah laku sukan, keselamatan serta profesionalisme dipatuhi sepanjang kejuaraan.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya, Jazeman memantau tingkah laku pemandu di litar sepanjang sesi latihan, kelayakan dan perlumbaan. Beliau juga memberikan pandangan pakar berkaitan standard pemanduan, etika perlumbaan serta konteks insiden yang berlaku di litar. Peranan ini memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan perlumbaan yang bersih, adil dan saling menghormati dalam persekitaran perlumbaan GT satu jenama yang sangat kompetitif.
Selain itu, beliau turut terlibat secara aktif dalam taklimat pemandu, sesi semakan selepas perlumbaan serta perbincangan maklum balas secara individu bagi menyokong pembangunan pemandu, meningkatkan kemahiran perlumbaan dan mengurangkan insiden yang boleh dielakkan.
Dalam masa yang sama, peranan ini juga bertindak sebagai penghubung antara para peserta dan pegawai perlumbaan bagi memastikan tafsiran peraturan dilaksanakan secara konsisten serta selaras dengan falsafah sukan global Porsche Motorsport.
Peranan ini memanfaatkan pengalaman luas Jazeman dalam perlumbaan antarabangsa serta pemahaman mendalamnya mengenai perlumbaan GT, sekali gus memberikan pandangan yang seimbang dan praktikal bagi menyokong integriti kejuaraan serta perkembangan para pemandu. Ketika ditanya, ini perkongsian Jazeman:
“Saya berasa amat berbesar hati dengan peluang yang diberikan ini. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Porsche Motorsport Asia Pacific, khususnya kepada Managing Director, Alex Gibot serta Series Manager Porsche Carrera Cup Asia, Alex Imperatori kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai Driving Standards Advisor.
“Dengan pengalaman selama 26 tahun dalam dunia sukan permotoran, saya berharap dapat menyumbang dari segi peningkatan standard siri ini, terutamanya dalam aspek keselamatan, perlumbaan yang adil (fair racing) serta pemantapan aspek keselamatan secara keseluruhan.
“Jenama Porsche merupakan sebuah jenama yang sangat berprestij, dan dalam dunia sukan permotoran ia diiktiraf sebagai antara platform perlumbaan paling dihormati serta mempunyai pengiktirafan yang sangat tinggi di peringkat antarabangsa.
Alhamdulillah, saya menantikan musim yang akan datang dan bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam peranan ini.”
Bagi musim 2026, Porsche Carrera Cup Asia dijadualkan berlangsung sebanyak 13 pusingan, dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi pusingan ke-9 hingga ke-11 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 21 hingga 23 Ogos.

Baca juga mengenai Jazeman Jaafar disini:


