Rumusan Pasca-Perlumbaan: Realiti Sebenar Madrid

Perlumbaan sulung di litar Madring telah pun melabuhkan tirai. Di sebalik kehebatan visual dan kehangatan sorakan peminat, perlumbaan ini meninggalkan pelbagai topik hangat untuk dibincangkan.

Berikut adalah 5 pengajaran utama yang kita pelajari daripada GP Sepanyol:

Antonelli Semakin Selesa di Puncak

Kemenangan Kimi Antonelli di Madrid bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai pendahulu kejuaraan, malah meletakkan rakan sepasukannya, George Russell, dalam situasi yang amat mendesak.

Dengan kelebihan 81 mata, Russell perlu memenangi baki perlumbaan dengan jurang 9-10 mata setiap perlumbaan, atau sekurang-kurangnya berharap Antonelli mengalami masalah teknikal yang serius jika mahu mencabar kejuaraan dunia.

Namun, strategi dan konsistensi Antonelli ketika berlumba membuktikan bahawa pemandu muda ini mempunyai ketenangan mental yang melebihi umur sebenarnya.

Kontroversi Madrid

Mengenai dakwaan bahawa litar Madring sukar untuk memotong dan hanya menyaksikan 4 pertukaran posisi di atas litar, jawapannya: Ya.

Mengikut data analisis dan statistik liputan TV selepas pusingan 1, hanya 4 pertukaran posisi secara bersih dicatatkan antara dua kereta yang memandu secara normal tanpa masalah teknikal.

Rekaan litar Madring yang sempit serta kombinasi selekoh yang memerlukan pemandu membrek sambil memusingkan stereng menyebabkan pemandu hanya perlu “bertahan di garisan tengah” untuk menyekat musuh. Ini menjadikannya salah satu perlumbaan paling membosankan musim ini.

Arvid Lindblad, Rookie Yang Konsisten

Di tengah-tengah kehangatan persaingan barisan hadapan, persembahan Arvid Lindblad wajar diberi perhatian khas dan pujian tinggi. Dalam perlumbaan di litar baharu yang tidak memberi ruang langsung untuk kesilapan, Lindblad mempamerkan ketenangan yang cukup matang.

Arvid kini telah berjaya memasuki Q3 sebanyak 9 kali pada musim ini, termasuk 7 kali berturut-turut. Ini menjadikannya salah satu pelumba pasukan pertengahan yang berpotensi untuk menyertai empat pasukan teratas pada pusingan kelayakan. Arvid juga kini telah mendapat mata dalam 10 daripada 14 perlumbaan yang telah dipertandingkan.

Kalah di Madrid Tapi Juara Perang Pembangunan

Walaupun McLaren gagal meletakkan pemandunya di podium tertinggi di Madrid akibat kelemahan strategi kedudukan litar dan kesan Virtual Safety Car (VSC), corak jentera mereka memberi isyarat yang sangat positif.

Di litar teknikal yang memerlukan cengkaman downforce mekanikal dan pakej aerodinamik yang stabil seperti Madrid, jentera McLaren menunjukkan graf peningkatan yang sangat ketara berbanding pesaing lain. Madrid mungkin satu kekalahan kecil dari segi mata, tetapi dari sudut pembangunan jentera, McLaren kelihatan mempunyai asas jentera paling fleksibel untuk menguasai baki litar seterusnya.

Sumpahan Perlumbaan di Laman Sendiri

Hasrat peminat tempatan di Sepanyol untuk melihat wira tempatan mereka, Carlos Sainz atau Fernando Alonso, bersinar di bumi Madrid berakhir dengan kekecewaan.

Alonso mengakhiri perlumbaan di petak ke-18 manakala perlumbaan Sainz berakhir dengan DNF.

Ini juga mengecewakan buat Aston Martin kerana litar Madrid yang sepatutnya mampu menunjukkan potensi aerodinamik jentera mereka tidak membuahkan hasil positif. Aston Martin masih terus bergelut untuk memastikan enjinnya mampu menyaingi pengeluar enjin yang lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related