Pasukan 33R Harmony Racing mencipta sejarah dengan kemenangan cemerlang di perlumbaan 12 Hours of Sepang 2025, menerusi jentera Ferrari 296 GT3 yang digelar “Garfield”. Kejayaan ini menyaksikan barisan pemandu Jazeman Jaafar, Jason Loh, David Chen Weian, dan Luo Kailuo menampilkan prestasi luar biasa untuk menamatkan perlumbaan sebagai juara.
Meskipun bertarung selama 12 jam, pelumba negara Jazeman mengakui bahawa perlumbaan ini merupakan antara yang paling mencabar dalam kariernya. Beliau dan pasukannya berjaya melengkapkan 328 pusingan (1,818 km) untuk memastikan kemenangan yang penuh dramatik.
Bermula dari petak pertama, pasukan 33R berdepan cabaran getir apabila perlu mengharungi keadaan cuaca yang tidak menentu serta suhu panas melampau yang menguji ketahanan fizikal pemandu.
“Saya masih kehilangan kata-kata. Ini antara perlumbaan paling sukar yang pernah saya sertai. Bangkit dari tempat ketiga dan meraih kemenangan dalam 15 minit terakhir adalah sesuatu yang luar biasa.
“Alhamdulillah, dengan pasukan yang hebat, jentera yang mantap, rakan sepasukan yang luar biasa serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan rakan-rakan, kemenangan ini amat bermakna,” ujar Jazeman.
Perlumbaan bermula seawal 10:15 pagi, dengan Jazeman mengawal kedudukan dan menggunakan strategi pengurusan tayar yang bijak untuk membina kelebihan hampir 30 saat di hadapan pencabar.
Ketika perlumbaan memasuki fasa terakhir, pasukan 33R menerima tekanan sengit daripada sebuah Porsche yang turut memburu gelaran juara. Namun, dengan kepakaran dan ketenangan di saat genting, Jazeman berjaya mencatat masa terpantas 2:05.915 dan memadam jurang 25 saat dengan pecutan luar biasa.

Aksi dramatik di selekoh Turn 1 dan Turn 2 menyaksikan Jazeman melakukan gerakan pemotongan penuh taktikal untuk merampas kedudukan pendahulu dan akhirnya memacu jentera Ferrari 296 GT3 ke garisan penamat sebagai juara.
Kemenangan ini bukan sahaja menambah koleksi trofi 33R Harmony Racing, malah mencipta rekod baharu apabila mengatasi pencapaian Ferrari 458 Italia GT3 pada 2014. Selain itu, ia turut menandakan kejuaraan pertama Ferrari 296 GT3 dalam kejohanan ketahanan di rantau Asia Pasifik.
Jazeman Jaafar, nama yang tidak asing dalam arena perlumbaan ketahanan, terus membuktikan keunggulannya di peringkat antarabangsa. Dilahirkan pada 28 November 1992, beliau memulakan karier dalam perlumbaan single-seater sebelum beralih ke kategori ketahanan.
Antara kejayaan terbesar beliau termasuk penyertaan dalam 24 Hours of Le Mans, Asian Le Mans Series, dan GT World Challenge. Beliau juga pernah mencipta sejarah dengan menjuarai Grand Prix Monaco dalam kategori Formula Renault 3.5.
Baca juga: