Badan Pesuruhjaya Formula 1 telah meluluskan cadangan untuk mengurangkan jarak perlumbaan Grand Prix sebanyak 15 km bermula musim 2027. Langkah ini diambil bagi mengimbangi implikasi teknikal dan kos berikutan pengenalan regulasi unit kuasa baharu.
Keputusan meluluskan pemotongan jarak standard daripada 305 km kepada 290 km itu dicapai dalam mesyuarat Badan Pesuruhjaya F1 di London baru-baru ini. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya masih tertakluk kepada pengesahan rasmi Majlis Sukan Motor Sedunia (WMSC) di bawah Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Punca utama perubahan ini berpandukan keputusan awal untuk mengubah imbangan jentera bagi musim 2027. Pihak penganjur mahu mengurangkan kebergantungan kepada sistem elektrik serta masalah pemulihan tenaga (energy harvesting) yang berlebihan semasa pemanduan.
Bagi mencapai keseimbangan baharu, kuasa enjin pembakaran dalaman (ICE) ditingkatkan kepada 420 kW menerusi penambahan kadar aliran bahan api sebanyak lima peratus. Pada masa yang sama, output maksimum unit generator motor-kinetik (MGU-K) dihadkan kepada 300 kW, kecuali ketika mod memintas (overtake mode) yang mengekalkan pemprosesan 350 kW.
Memandangkan kadar penggunaan bahan api bertambah, FIA dan Pengurusan Formula 1 (FOM) memilih untuk memendekkan jarak perlumbaan yang secara puratanya berkurang sebanyak tiga pusingan di kebanyakan litar. Langkah ini sekali gus mengelakkan risiko jentera kehabisan bahan api sebelum melintasi garisan penamat, selain menjimatkan kos pembangunan pasukan.
Bagaimanapun, pemendekkan jarak ini mungkin bersifat sementara. Bagi musim 2028, peraturan powertrain akan disemak semula dengan kuasa ICE dinaikkan ke paras 450 kW menerusi lonjakan 13 peratus aliran bahan api. Nisbah pembakaran dan elektrik 60/40 itu dijangka mewajibkan penggunaan tangki bahan api yang lebih besar kelak.
Dalam perkembangan lain, peraturan homologasi kotak gear ditarik balik untuk musim 2027 bagi memberi ruang kepada pasukan untuk terus membangunkan sistem transmisi jentera masing-masing.
Format Masa Bendera Merah Turut Dirombak
Selain jarak perlumbaan, Badan Pesuruhjaya F1 turut mengemukakan cadangan rombakan had masa penangguhan perlumbaan akibat hujan atau bendera merah.
Syarat asal menetapkan had masa maksimum tiga jam untuk menyelesaikan perlumbaan jika berlaku gangguan. Mengikut cadangan baharu, had masa tiga jam itu akan dimansuhkan dan digantikan dengan ‘hard stop time’ berasaskan jarak penglihatan serta pencahayaan waktu siang. Had masa perlumbaan aktif selama dua jam bagaimanapun kekal tidak berubah.


