Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Honda pamer peningkatan drastik

Honda terus menunjukkan momentum positif dalam saingan MotoGP 2025, dengan keputusan memberangsangkan di GP Argentina dua minggu lalu. Kejayaan ini menyaksikan tiga pelumba Honda berada dalam kelompok 10 terbaik, dimana kali terakhir dicapai oleh HRC pada GP Portugal 2022.

Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) muncul sebagai pelumba Honda terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan, menamatkan Grand Prix di kedudukan keenam. Pelumba Perancis itu menunjukkan prestasi konsisten, mengatasi rakan sepasukan Honda yang lain dengan perbezaan tiga kedudukan.

Joan Mir (Honda HRC Castrol) pula menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, diikuti rakan sepasukannya, Luca Marini (Honda HRC Castrol), di tempat ke-10.

Dengan tiga pelumba Honda mengutip mata penting, HRC kini berada di kedudukan kedua dalam Kejuaraan Pengeluar (Constructors’ Championship). Ianya merupakan perkembangan positif bagi pasukan yang sebelum ini menghadapi cabaran besar dalam beberapa musim terakhir.

Zarco turut tampil cemerlang sejak sesi latihan, mencatat masa terbaik di tempat ketujuh pada hari Jumaat. Dia kemudiannya meneruskan momentum itu dengan catatan masa luar biasa 1:37.205s dalam sesi kelayakan, memastikan tempat di barisan hadapan grid.

Dalam perlumbaan Sprint, Zarco berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, sebelum mengekalkan prestasi baiknya dengan menamatkan perlumbaan utama di tempat keenam, selepas pertarungan sengit dengan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team).

“Ia adalah hujung minggu yang sangat indah, hampir seperti mimpi sejak sesi pertama pada hari Jumaat sehingga perlumbaan utama pada hari Ahad. Sangat menggembirakan apabila dapat bersaing dengan kelompok teratas. Saya cuba melakukan segala yang mungkin untuk naik podium, dan strategi pada hari Ahad jauh lebih baik berbanding hari Sabtu kerana saya mendapat permulaan yang lebih baik.

“Jika kami mempunyai satu lagi hujung minggu yang positif di COTA, ini akan menjadi petanda baik buat Honda. Jelas sekali, keyakinan kami semakin meningkat, jadi mari kita lihat bagaimana prestasi kami di Austin. Saya mahu memberikan aksi terbaik di sana,” katanya sambil mengungkapkan keazamannya dalam mengekalkan aksi konsisten di Cota hujung minggu ini.

Rakan sepasukannya, Joan Mir turut mencatat keputusan baik apabila berjaya meraih mata dalam kedua-dua perlumbaan Sprint dan Grand Prix utama. Juara Dunia 2020 itu terlibat dalam pertarungan sengit dengan Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) pada penghujung perlumbaan, namun terlepas kedudukan kelapan dengan perbezaan kecil.

Namun, walaupun meraih keputusan positif, Mir mengakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaikinya.

“Saya tidak dapat bertahan daripada serangan pelumba lain. Setiap kali saya tiba di laluan lurus, pelumba di belakang saya memintas, dan saya pula sukar menyerang di selekoh kerana tayar depan saya terlalu panas. Kami perlu memahami apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan situasi ini. Walaupun begitu, tahun ini saya dapat melihat bagaimana saya mampu bersaing dengan lebih baik, dan itu satu petanda baik. Tetapi sebagai pelumba, saya sentiasa mahukan lebih banyak lagi.

Sementara itu, Luca Marini menunjukkan peningkatan apabila meraih keputusan terbaik musim ini dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10. Ini memberikan motivasi tambahan kepada pasukan Honda HRC Castrol menjelang GP seterusnya.

Pasukan Honda akan kembali turun ke litar hujung minggu ini dengan harapan dapat meneruskan momentum terbaik mereka di Litar COTA yang penuh dengan sejarah yang dicipta oleh pasukan Jepun itu.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related