Perkembangan semasa mengenai penyelarasan dan penyediaan perlumbaan pertama kali di Sokol International Racetrack dikhabarkan tidak beri berita gembira buat peminat MotoGP. Ia jauh dari gambaran proses persiapan litar seperti kita bayangkan dengan hampirnya kalendar perlumbaan.
Baca juga mengenai persiapan awal Sokol International Racetrack yang kami naikkan sebelum ini disini:
Tarmac Sports dimaklumkan pada minggu lepas oleh sumber rapat mengenai perkembangan litar yang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat dan pasukan MotoGP. Secara umumnya litar dan permukaan tarmac telah siap sepenuhnya lebih awal dari tahun lepas (2023). Ia merangkumi elemen litar yang cukup sifat seperti selekoh, chicanes, apex ia sempurna dari mata kasar untuk sebuah litar.
Namun untuk beroperasi sebagai sebuah litar, mereka memerlukan sistem, teknologi dan segala bentuk persiapan lain bagi membolehkan perlumbaan diadakan setaraf litar-litar ternama dunia lain.
Ia bermula apabila sumber dimaklumkan mengenai pihak Sokol International Racetrack lewat membayar kepada pihak konsultan termasuk syarikat ternama dunia seperti Saudi Motorsport Company (SMC), syarikat Blink dan beberapa yang lain serta tidak mengikut perjanjian yang dibuat bagi penyediaan sebuah litar perlumbaan.
Turut dimaklumkan Dastan Ibragimov yang merupakan pemilik litar tidak dapat dihubungi oleh sumber dan Carmelo Ezpeleta sendiri dalam tempoh terdekat. Sokol International Racetrack pada asalnya diinspirasikan oleh Alijan Ibragimov (bapa kepada Dastan) namun telah meninggal dunia pada 2021 dan pengurusan litar diambil alih oleh anaknya.
Sebelum ini pihak Dorna mengambil keputusan untuk membatalkan GP India walaupun pihak Buddh International Circuit memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pembayaran dengan kadar segera selepas mendapat jaminan GP Kazakhstan bakal diadakan.
Kini pihak Dorna beri sedikit tempoh masa terdekat untuk pihak Sokol International Racetrack memberi reaksi balas sebelum memuktamadkan kalendar GP Kazakhstan 20 hingga 22 September 2024.