MotoGP bakal merasmikan litar utama di Kazakhstan iaitu Sokol Race Track yang kini siap secara keseluruhan menjelang perlumbaan MotoGP pusingan ke-6 di Almaty.
Sokol Race Track mempunyai panjang 4.495 kilometer dengan 12 selekoh dengan memiliki keistimewaan tersendiri. Kapasiti Sokol boleh memuatkan 105,000 penonton manakala tempat duduk utama boleh memuatkan 74,000 penonton.
Pihak Tarmac Sports sempat menemubual Dato’ Razlan Razali yang telah pun bekerjasama secara dekat dengan Sokol Race Track dalam fasa akhir penyediaan litar perlumbaan bermula selepas Qatar GP tahun ini.
Peranan Dato Razlan:
Dalam memastikan acara MotoGP Kazakhstan berjalan dengan lancar, peranan Dato’ Razlan cukup penting bagi memastikan persediaan MotoGP di Almaty apabila akan sekali lagi ke Sokol Race Track pada minggu ini sebelum lawatan pihak Dorna pada awal bulan Mei ini.
Perjumpaan antara Dato’ Razlan Razali berlaku ketika pusingan pertama ketika kalendar MotoGP dibuka di Qatar bersama pemillik Sokol Race Track, Dastan Ibragimov yang merupakan seorang dari keluarga billionair. Selepas seminggu perlumbaan di Qatar berlalu, Dato’ Razlan dihubungi oleh pihak litar untuk mendapat khidmat nasihat dan bertindak sebagai perunding bagi persiapan litar menjelang MotoGP pertama di Kazakhstan.
Kunjungan pertama kali beliau adalah sekitar bulan Mac lepas bersama-sama pihak Dorna dan IRTA bagi melihat keadaan awal litar. Menurut Dato’ Razlan, Sokol Race Track perlu menyelesaikan beberapa perkara menjelang GP ke-6 yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Jun 2024 yang berada jauh 70KM dari pusat bandar Almaty.
Dato’ Razlan yang dilantik sebagai perunding turut memberi nasihat kepada pihak litar berkenaan lantikan perunding penting yang perlu seperti syarikat Saudi Motorsports Company (SMC) dan syarikat Blink yang memiliki pengalaman penganjuran Formula 1. SMC mempunyai tenaga dalaman yang berpengalaman luas dari Malaysia yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi SMC, Sharmila Nadarajah yang sebelum ini pernah berkhidmat di SIC.
Keistimewaan Sokol Race Track:
Sokol Race Track yang sepatutnya telah bermula lebih awal tahun lepas terpaksa ditunda atas beberapa faktor geografi dan cuaca yang menyebabkan pembinaan tergendala. Menurut Dato’ Razlan yang meninjau litar ini, Sokol Race Track sempurna dan hanya persiapan akhir seperti lampu dan tempat duduk penonton.
“Keseluruhan Sokol Race Track begitu lengkap tetapi mereka bermula dengan litar go-kart, litar drift, litar drag dan baru bina litar utama mereka. Ini terbalik balik dari kebiasaan litar yang ada.”
“Sokol Race Track mempunyai kualiti dari segi fasiliti, hospitaliti pasukan, cantik, besar. Keunikan litar ini adalah mereka mempunyai ‘rider suites’ setaraf hotel diatas pit garage. Ini beri kelebihan pilihan supaya pelumba tidak perlu tinggal di hotel.” – kata Dato’ Razlan
Menurut Dato’ Razlan, cabaran utama yang dikongsi oleh pihak litar adalah cuaca terutama salji yang tebal dan mengganggu proses pembinaan litar. Geografi litar ini juga tidak terlepas dari bencana alam seperti gempa bumi yang baru berlaku pada Januari lepas dan berlaku sedikit kerosakan sekitar litar.
Sokol Race Track mempunyai karakter tersendiri sama seperti semua litar lain. Sokol memberi fokus kepada ‘potential timing’ dan ‘lap time’ yang pantas disebabkan litar ini memiliki jalan lurus yang panjang 1.7 KM di T8 ke T9.
Sokol juga mempunyai selekoh paling susah di T4 ke T5 dari keseluruhan litar ini. Ia dipanggil ‘Big Balls’ turn dinamakan oleh pihak Dorna dimana pelumba perlu memperlahankan jentera lebih lewat di T4 dan membuka minyak untuk ke ketinggian berbeza menuju ke T5.
Pemeriksaan Kritikal oleh Dorna:
Sokol Race Track akan melalui pemeriksaan kritikal oleh pihak Dorna pada 6 Mei dimana terdapat ujian ‘power test’ dan ‘internet test’ yang merupakan 2 komponen yang kritikal sebelum menjalankan acara MotoGP dengan baik.
Homologasi:
Berkenaan homologation, secara umumnya dari segi rekaan, kerb homologasi, ujian berkenaan litar yang ditetapkan oleh FIM, Dorna telah pun dipatuhi untuk perlumbaan MotoGP. Namun homologasi yang sebenarnya akan dijalankan bersama oleh IRTA, Dorna, perunding dan kontraktor pada hari Khamis minggu perlumbaan. Ini termasuklah, pasukan perubatan, marshall, bendera dalam perlumbaan.
Tenaga berpengalaman:
Sejumlah 429 tenaga perlumbaan dari Malaysia termasuk marshall dan pasukan perubatan akan dihantar ke minggu perlumbaan pusingan ke – 6 MotoGP di Kazakhstan pada bulan Jun 2024 bagi membantu melancarkan acara MotoGP pertama di Kazakhstan.
“Sungguh pun Sokol Race Track pernah menganjurkan beberapa acara kecil seperti drif, drag dan go-kart, mereka tidak begitu yakin untuk acara MotoGP dengan sumber tenaga lokal. Saya mencadangkan Motorsports Association of Malaysia (MAM) untuk tenaga marshall.” – berkongsi Dato’ Razlan
Qatar (Lusail International Circuit) antara pilihan lain disebalik Sepang International Circuit (SIC) namun menurut Dato’ Razlan, beliau lebih selesa bekerjasama dengan MAM dan mengenali marshall di SIC.
Lihat video penuh yang dikongsikan oleh Go Grande: