Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, berkongsi pengalaman bermakna selepas penampilan sulungnya dalam Kejohanan Dunia Moto3 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang. Walaupun tidak menamatkan perlumbaan akibat masalah teknikal, pelumba berusia 18 tahun itu tetap menampilkan prestasi membanggakan dalam aksi penuh semangat menentang pelumba elit dunia.

Perjalanan Perlumbaan: Saingan Sengit Sebelum Masalah Jentera
Danish memulakan perlumbaan dari petak ke-12, selepas pelumba Brian Uriarte menerima penalti, selain insiden awal melibatkan José Antonio Rueda dan Noah Dettwiler di ‘Sighting Lap’ yang mengubah kedudukan barisan hadapan.
Sepanjang perlumbaan, Danish berada dalam kelompok 12 pelumba teratas, beberapa kali mencatat kedudukan sekitar P10, bersaing rapat dengan Joel Kelso dan Luca Lunetta.
Namun dengan baki lima pusingan, jentera beliau mengalami masalah dan terpaksa berundur daripada perlumbaan.
“Motor saya terus mati di selekoh pertama, jadi saya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal,” jelasnya.
Pasukan kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kerosakan tersebut.
Walaupun kecewa tidak dapat menamatkan perlumbaan, Danish tetap berasa bangga dapat bersaing dengan pelumba terbaik dunia dalam kelas Moto3.
“Saya rasa sangat gembira sebab dapat bersaing dengan pelumba-pelumba dunia” katanya.
Beliau juga percaya tanpa masalah teknikal, peluangnya untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok mengutip mata amat cerah.
“Mungkin saya boleh habiskan di kedudukan yang dapat mata, tapi saya pun tak boleh nak jangka sebab tak sempat habiskan perlumbaan,” ujarnya.
Menariknya, Danish turut mencatat masa terpantas (fastest lap) pada pusingan kedua — membuktikan keupayaan dan potensi sebenar beliau.
“Secara keseluruhan saya rasa baik dengan jentera dan setup yang team sediakan. Terima kasih banyak-banyak kepada pasukan saya yang bagi yang terbaik untuk minggu ni,” katanya lagi.
Sokongan Rakyat Malaysia Jadi Pembakar Semangat
Antara detik paling manis buat Danish ialah melihat ribuan penyokong tempatan memenuhi grandstand Sepang untuk memberi sokongan.
“Saya sangat teruja sebab ramai rakyat Malaysia datang sokong saya. Pertama kali saya dengar orang jerit nama saya dari starting grid, memang bagi semangat besar untuk saya dalam perlumbaan,”
Belajar Daripada Pengalaman Pertama
Walaupun hasil perlumbaan tidak seperti diharapkan, Danish melihat minggu perlumbaan ini sebagai pengalaman yang sangat berharga.
“Tentunya banyak saya belajar, daripada cara pelumba lain bawa motor dan bagaimana mereka kendalikan situasi di dalam kelas World Championship. Saya belajar untuk jadi pelumba yang lebih baik,” jelasnya.
Mengulas tentang insiden antara Jose Rueda dan Noah Dettwiler terlibat dalam insiden kemalangan.
“Saya harap kedua-dua pelumba dalam keadaan baik,” katanya.
Menutup hujung minggu yang penuh emosi itu, Danish tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan dan yakin pengalaman ini menjadi batu loncatan untuk kariernya.
“Memang saya tak sabar untuk, untuk berlumba di Kejuaraan Dunia tahun hadapan tetapi saya masih perlu perbaiki diri saya untuk lebih bersedia di musim penuh Kejuaraan Dunia.”
Walaupun hanya membuat penampilan sulung di GP Malaysia, prestasi Danish boleh dianggap memuaskan. Pada hari pertama, beliau menamatkan sesi di P11, manakala pada hari kedua (FP2), Danish mencatat P6, bersaing rapat dengan pelumba-pelumba berpengalaman.


