Perjalanan Franco Morbidelli bersama Pertamina Enduro VR46 Racing Team diteruskan. Pelumba berdarah Itali-Brazil itu sah akan kekal menyarung jersi pasukan berpengkalan di Tavullia bagi musim 2026, selepas mencatatkan kejayaan podium pada musim 2025.
Dengan Fabio Di Giannantonio sudah pun disahkan lebih awal, pasukan kini melengkapkan barisan pelumba mereka bagi musim depan.
Morbidelli merupakan pelumba pertama lahir daripada VR46 Riders Academy dan juga yang pertama menjuarai Kejuaraan Dunia, menerusi gelaran Moto2 pada 2017. Selepas tujuh musim dalam kelas perdana dengan rekod tiga kemenangan, enam podium dan gelaran naib juara dunia pada 2020, beliau menyertai Pertamina Enduro VR46 pada musim 2025.
Musim sulungnya bersama VR46 menyaksikan peningkatan prestasi ketara. Selain meraih dua podium Grand Prix di Argentina dan Qatar, Morbidelli turut mencatat dua podium Sprint di Qatar dan Hungary, sekali gus membuktikan keupayaannya untuk bersaing rapat dengan kelompok pelumba elit.
Konsistensi yang ditunjukkan sepanjang musim ini turut membantu VR46 mengekalkan kedudukan kukuh dalam carta pasukan.
“Saya sangat mencintai pasukan ini. Hubungan saya dengan semua ahli pasukan amat baik dan ia menjadi satu keseronokan untuk terus berlumba bersama Pertamina Enduro VR46 musim depan. Pengumuman ini sangat istimewa dan saya berharap dapat mencipta lebih banyak hari-hari hebat seperti yang sudah kami lalui musim ini.
“Kami ada hampir setahun setengah lagi untuk membuktikan potensi besar yang kami miliki bersama. Terima kasih kepada seluruh pasukan, Vale, Uccio, Pablo, para penaja, VR46 Riders Academy dan semua orang saya,” ujar Morbidelli.
Pengarah Pasukan, Alessio Salucci, turut menyuarakan kegembiraannya dengan penyambungan kontrak ini.
“Kami gembira mengesahkan Franco untuk musim depan. Sejak awal lagi, dia berjaya menyesuaikan diri dengan pasukan, membina hubungan profesional dan peribadi yang baik hingga membawa kepada keputusan penting. Franco adalah sebahagian daripada VR46 Riders Academy sejak permulaan, jadi melihat dia menyarung warna Pertamina Enduro VR46 amat bermakna, seperti menutup satu kitaran.
“Dengan dua podium perlumbaan utama dan dua lagi dalam Sprint tahun ini, kami sudah membuktikan kemampuan. Sasaran kini adalah untuk melangkah lebih jauh di baki musim ini dan juga musim depan. Pengalaman Franco adalah nilai tambah besar, dan dengan kepakaran pasukan serta sokongan Ducati, kami teruja untuk terus melangkah bersama pada 2026.” ungkapnya.
Baca juga:


