Fernandez cipta sejarah buat Trackhouse di Australia

Grand Prix Australia 2025 menjadi detik bersejarah buat pasukan Trackhouse MotoGP apabila pelumba mereka, Raul Fernandez, menamatkan perlumbaan di kedudukan teratas sekaligus menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan tersebut dalam kelas perdana MotoGP.

Kemenangan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan buat seluruh pasukan Trackhouse, tetapi juga buat Aprilia, yang terus menunjukkan peningkatan prestasi dalam saingan tertinggi dunia dua roda itu.

Meninjau kembali detik bersejarah tersebut, Prinsipal Pasukan Trackhouse, Davide Brivio, meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pasukannya yang kini memasuki musim kedua bersaing dalam MotoGP.

“Tahun ini kami menerima banyak kritikan kerana pada awal musim ia agak sukar kami bergelut untuk mengutip mata. Namun, selepas beberapa perlumbaan, kami mula menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik secara konsisten, kemudian mensasarkan kedudukan tujuh teratas, dan akhirnya Raul berjaya melonjak terus ke podium sesuatu yang kami sangka akan mengambil masa lebih lama,” jelas Brivio.

Sebagai antara individu paling berpengalaman dalam paddock, Brivio pernah bekerja bersama legenda seperti Valentino Rossi dan Noriyuki Haga. Pengalamannya bersama pelumba hebat itu kini dimanfaatkan untuk membimbing Fernandez mencapai potensi sebenar.

“Tiada formula khas untuk kejayaan. Saya banyak berbincang dengan Raul, dan cuba menggunakan segala yang saya pelajari daripada pelumba terdahulu terutama ketika bekerja dengan Valentino. Saya juga belajar daripada Joan Mir, Alex Rins, Viñales, dan Haga. Saya cuba gabungkan elemen terbaik daripada setiap pelumba itu dan sampaikan kepada Raul,” katanya lagi.

Pada Ogos 2024, pasukan Trackhouse mengumumkan penyertaan pelumba baharu mereka Juara Dunia Moto2 2024. Pelumba muda dari Jepun itu kini menunjukkan prestasi yang semakin meningkat, dengan pencapaian terbaik setakat ini ialah tempat kelima (P5). Brivio percaya Ogura bakal menjadi aset penting kepada pembangunan jangka panjang pasukan.

“Kami sentiasa percaya dengan kemampuan Raul, sebab itu kami berikan beliau peranan kepimpinan dalam pasukan. Namun, Ai juga semakin berkembang. Harapan saya, tahun depan tiada lagi istilah pelumba utama, kerana saya percaya kedua-duanya akan menjadi pelumba nombor satu buat pasukan,” jelas Brivio.

“Sejak awal, saya dan Justin Marks (Pemilik Pasukan) berjanji untuk membina pasukan bebas yang bukan sekadar mencabar pasukan bebas lain, tetapi juga mampu menyaingi pasukan kilang. Dan kemenangan hari ini membuktikan kami berada di landasan yang betul,” ujarnya lagi penuh semangat.

Trackhouse MotoGP Team merupakan cabang dua roda kepada organisasi sukan motor terkenal dari Amerika Syarikat, Trackhouse Racing, yang diasaskan oleh bekas pelumba NASCAR, Justin Marks. Berpangkalan di Concord, North Carolina, pasukan ini secara rasmi menyertai kejuaraan MotoGP™ pada musim 2024 sebagai pasukan satelit kepada Aprilia, selepas mengambil alih slot RNF Racing yang dikeluarkan daripada kejuaraan.

Kehadiran Trackhouse menandakan kemasukan entiti Amerika yang baharu dalam kelas perdana, membawa semangat baharu dan pendekatan moden terhadap sukan permotoran dua roda.

Menjelang musim 2025, Trackhouse menampilkan dua pelumba berbakat Raul Fernandez dan Ai Ogura yang mengemudi jentera Aprilia RS-GP25 spesifikasi penuh kilang. Dengan sokongan teknikal daripada Aprilia serta pengurusan berpengalaman seperti Davide Brivio, pasukan ini terus menunjukkan kemajuan konsisten sejak musim debut mereka.

Di luar litar, Trackhouse turut dikenali dengan strategi pemasaran yang kreatif, menggabungkan identiti visual antara projek NASCAR dan MotoGP, serta menampilkan kolaborasi dengan jenama global bagi memperkukuh kehadiran mereka di peringkat antarabangsa.

Pasukan Trackhouse MotoGP mula menyertai Kejuaraan Dunia pada tahun 2024 dan menamatkan musim sulung mereka di tempat kesembilan dalam kategori pasukan. Sejak itu, mereka terus menunjukkan peningkatan ketara.

Dengan hanya tiga pusingan berbaki dalam musim 2025, Trackhouse dan Fernandez kini memburu kemenangan kedua mereka. Perlumbaan seterusnya bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia dan pastinya, semua mata kini tertumpu kepada mereka untuk melihat sama ada sejarah akan berulang di tanah Asia.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related