Spekulasi mengenai pasaran pelumba MotoGP musim 2027 terus hangat apabila Pengurus Pasukan Trackhouse MotoGP, Davide Brivio, mengesahkan bahawa Ai Ogura tidak akan bersama pasukan itu musim depan.
Perkara itu didedahkan selepas beliau ditemui oleh Jack Appleyard di pitlane pada Jumaat. Brivio menjelaskan bahawa keputusan tersebut datang daripada pihak Ogura sendiri, namun enggan mendedahkan destinasi baharu pelumba Jepun itu.
“Ogura sudah beritahu kami dia tidak akan teruskan bersama kami tahun depan. Saya tidak boleh dedahkan ke mana dia akan pergi, tetapi ya, kami kini berpotensi mempunyai satu kekosongan untuk musim 2027,” kata Brivio.
Mengulas mengenai calon pengganti, Brivio memberi bayangan bahawa Trackhouse kini sedang mencari pelumba yang lebih berpengalaman berbanding sebelum ini. Walaupun beliau terkenal dengan pendekatan membangunkan bakat muda, situasi semasa pasukan yang semakin kompetitif membuatkan mereka perlu mengubah strategi.
“Sekarang adalah masa untuk mendapatkan pelumba berpengalaman yang boleh terus bersaing di kelompok hadapan, memburu podium dan mungkin kemenangan,” tambahnya, merujuk kepada potensi jentera pasukan yang semakin meningkat.
Perkembangan ini hadir sehari selepas Alex Rins mengesahkan beliau tidak akan bersama Monster Energy Yamaha MotoGP musim depan. Perkara itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa kedua-dua situasi ini mungkin saling berkait, walaupun setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Sepanjang bersama Trackhouse MotoGP Team, Ai Ogura menunjukkan perkembangan positif sebagai salah seorang pelumba muda yang mencuri perhatian. Juara Moto2 World Championship 2024 itu pantas menyesuaikan diri dalam kelas perdana, termasuk beberapa aksi konsisten dalam kelompok mata dan hampir meraih podium sulung sebelum dinafikan masalah teknikal dalam satu perlumbaan penting musim ini.
Walaupun masih dalam fasa pembelajaran, Ogura berjaya mempamerkan kelajuan kompetitif dan potensi besar, terutamanya apabila mampu bersaing rapat dengan pelumba lebih berpengalaman.
Prestasinya bersama Trackhouse membantu mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat baharu paling menyerlah di MotoGP, sekali gus menjadikannya antara nama yang hangat dalam pasaran perpindahan pelumba menjelang musim 2027.
Baca juga:


