AEON Credit, ZK Racing sambung kerjasama dua tahun, perkukuh perjalanan Hakim Danish di Moto3

VALENCIA: AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) dan ZK Racing meneruskan kerjasama strategik untuk tempoh dua tahun lagi bagi musim 2027 dan 2028 dalam usaha memperkukuh pembangunan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, di pentas Kejuaraan Dunia Moto3.

Persetujuan yang dicapai di Valencia, Sepanyol sempena Grand Prix Valencia itu bakal menyaksikan AEON Credit terus menyokong program perlumbaan Hakim Danish bersama MSi Racing Team.

Komitmen jangka panjang berkenaan juga memberi ruang kepada ZK Racing untuk merancang pembangunan Hakim Danish dengan lebih menyeluruh, termasuk dari aspek persiapan, prestasi dan daya saingnya di peringkat dunia.

AEON Credit, ZK Racing @ Valencia

Kerjasama antara AEON Credit dan ZK Racing bermula ketika Hakim Danish membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Dunia Moto3 menerusi penyertaan wildcard di Grand Prix Malaysia.

AEON Credit kemudiannya meneruskan sokongan terhadap ZK Racing sepanjang musim penuh pertama pelumba negara itu pada 2026.

Musim berkenaan menyaksikan Hakim Danish mencatat beberapa pencapaian penting, termasuk melakar kemenangan di Grand Prix Republik Czech di Brno sekali gus menjadi pelumba Malaysia pertama memenangi perlumbaan Moto3 sejak 2016.

Beliau turut menaiki podium selepas menamatkan Grand Prix Itali di Mugello di tempat ketiga, selain mencatat keputusan tempat keempat di Grand Prix Malaysia.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Daisuke Maeda berkata perkembangan Hakim Danish sepanjang musim 2026 menunjukkan pelumba Malaysia mempunyai kemampuan untuk bersaing di peringkat tertinggi sukan permotoran antarabangsa.

Menurutnya, kerjasama itu bukan sekadar memberi sokongan kepada seorang pelumba, sebaliknya sebahagian daripada usaha untuk membangunkan bakat tempatan dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi pelumba Malaysia seterusnya.

“Kami percaya pembangunan seorang atlet yang berjaya memerlukan komitmen jangka panjang, perancangan yang teliti dan sokongan berterusan.

“Atas sebab itu, kami berbesar hati untuk meneruskan kerjasama bersama ZK Racing bagi musim 2027 dan 2028, sekali gus membolehkan kami terus menyumbang kepada perjalanan penting ini,” katanya.

Sementara itu, Hakim Danish berkata kesinambungan kerjasama berkenaan memberikan keyakinan dan motivasi tambahan kepadanya untuk menghadapi dua musim akan datang.

Menurutnya, musim penuh pertamanya dalam Moto3 memberikan pelbagai pengalaman berharga, khususnya menerusi podium di Mugello dan kemenangan di Brno.

“Saya sedar masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki untuk menjadi pelumba yang lebih baik dan kompetitif.

“Sasaran saya adalah untuk terus meningkatkan kemampuan, menjadi lebih konsisten dan bersaing pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata komitmen selama dua tahun daripada AEON Credit memberikan kestabilan lebih baik kepada pasukan dalam merancang program pembangunan Hakim Danish.

Beliau berkata pembangunan pelumba Malaysia sehingga mampu bersaing di peringkat Kejuaraan Dunia memerlukan perancangan jangka panjang yang merangkumi pengurusan profesional, persiapan teknikal dan sokongan rakan strategik.

Pada masa sama, ZK Racing mahu usaha berkenaan diperluaskan kepada pembangunan lebih ramai bakat tempatan pada masa hadapan.

“Aspirasi kami tidak terhad kepada Hakim Danish semata-mata. Sebagai sebuah organisasi sukan permotoran Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan lebih ramai bakat tempatan serta mewujudkan laluan yang lebih kukuh bagi membolehkan pelumba Malaysia menembusi arena antarabangsa,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related