Pelumba Leopard Racing, David Almansa, menampilkan tunggangan luar biasa pada sesi kelayakan kelas Moto3 Grand Prix (GP) Malaysia 2025 apabila meraih petak utama (pole position) buat kali kedua musim ini.
Pelumba muda Sepanyol itu menamatkan pusingan terakhirnya dengan masa terpantas, sekaligus mengetepikan pesaing lain di saat-saat akhir untuk mencatat rekod baharu peribadi di Litar Antarabangsa Sepang.
Masih memburu podium pertama dalam kariernya, Almansa akan memulakan perlumbaan Ahad ini di hadapan Taiyo Furusato (Honda Team Asia) yang turut mencipta detik bermakna apabila kembali ke barisan hadapan buat kali pertama dalam tempoh lebih setahun. Turut melengkapkan barisan depan, Juara Dunia Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) menduduki tempat ketiga selepas aksi mendebarkan di penghujung sesi kelayakan Q2.
Sebelum itu, empat pelumba berjaya mara dari sesi Kelayakan Satu (Q1) ke Q2 iaitu Ryusei Yamanaka (FRINSA – MT Helmets – MSI), Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP), Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech 3) dan Ruche Moodley (DENSSI Racing – BOE). Keempat-empatnya menunggang jentera KTM, yang nyata berada dalam prestasi terbaik pada awal sesi Q2 dengan Rueda mencatat masa terpantas pada awal saingan bagi mendahului senarai sementara bersama rakan sepasukan Alvaro Carpe.
Namun, sesi kelayakan tidak berjalan lancar buat semua pelumba. Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI) mengalami insiden di selekoh keempat, manakala Brian Uriarte (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) turut terjatuh di selekoh ke-15. Mujurlah kedua-duanya berjaya bangkit semula dan meneruskan sesi tanpa kecederaan serius.
Aksi menjadi semakin sengit apabila tinggal empat minit terakhir, dengan Pini dan Uriarte memperbaiki catatan masa untuk berada di barisan hadapan sementara. Namun, dalam saat-saat terakhir, Furusato berjaya merampas kedudukan teratas sebelum Almansa kembali mencipta kejutan dengan pecutan terakhir untuk mengesahkan petak utama.
Ia sekali gus menghadiahkan kombinasi Honda 1-2 pertama sejak GP Assen 2024, dengan Furusato di tempat kedua dan Rueda di tempat ketiga. Pini dan Uriarte masing-masing menamatkan sesi di tempat keempat dan kelima, diikuti Carpe di tempat keenam.
Turut cemerlang ialah Valentin Perrone yang memulakan perlumbaan dari petak ketujuh selepas mara dari Q1, manakala Maximo Quiles (CFMOTO Power Electronics Aspar Team) akan bermula dari petak kelapan, diikuti Piqueras di tempat kesembilan dan Luca Lunetta (SIC58 Squadra Corse) yang melengkapkan kelompok 10 terbaik.
Bintang muda negara, Hakim Danish (AEON Credit SIC Racing MSI) pula terus mencuri perhatian apabila berjaya mara ke Q2 dalam penampilan sulungnya di Kejuaraan Dunia Moto3, dan menamatkan sesi di kedudukan ke-14 satu pencapaian membanggakan di hadapan penyokong sendiri di Sepang.
Perlumbaan Ahad ini dijangka sengit, dengan Almansa memburu podium pertama kariernya, sementara Furusato dan Rueda tidak akan memberi laluan mudah dalam usaha mereka menambah mata kejuaraan musim ini.
Baca juga:


