Pasukan ZK Racing mengesahkan bahawa pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, akan beraksi sepenuh musim dalam Kejuaraan Dunia Moto3 2026, sekali gus mengembalikan semula nama Malaysia ke grid dunia selepas kali terakhir diwakili oleh Syarifuddin Azman pada tahun 2023.
Minggu ini di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, ribuan penyokong tempatan kembali bersorak apabila pelumba berusia 18 tahun itu mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam penampilan wildcard bersama AEON Credit SIC Racing MSi, menempatkan diri dalam kelompok 15 pelumba terpantas dalam sesi latihan bebas Moto3, dan menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-14.
Hakim Danish terus mencipta sejarah apabila pada tahun 2022, beliau menamatkan musim dengan cemerlang sebagai juara keseluruhan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC), menjadikannya pelumba Malaysia pertama merangkul gelaran tersebut selepas mencatat empat kemenangan dan tujuh podium sepanjang musim.
Musim 2025 menjadi antara yang terbaik dalam karier awalnya di Red Bull MotoGP Rookies Cup, apabila beliau meraih kemenangan di Aragón, dua podium di Jerez, serta pole position di Le Mans, sebelum menamatkan musim di tempat ketiga keseluruhan, bersaing rapat dengan Brian Uriarte dan Veda Pratama.
Prestasi konsisten Hakim memperkukuh reputasinya sebagai antara pelumba muda paling berbakat dari Asia Tenggara.
Sebagai penutup musim 2025, Hakim diberi peluang beraksi sebagai wildcard di Moto3 Malaysian Grand Prix bersama AEON Credit SIC Racing MSi, pasukan hasil kerjasama antara Sepang International Circuit (SIC) dan MSi Racing Team dari Sepanyol.
Dalam penampilan sulungnya di pentas dunia sebenar, beliau menamatkan sesi latihan dalam kelompok Top 10, satu pencapaian membanggakan bagi pelumba baharu dan bukti kesediaannya untuk melangkah ke tahap kejuaraan dunia.

Kata Hakim Danish,
“Sudah tentu, berita ini membuatkan saya sangat gembira dan memberikan saya motivasi serta semangat tambahan untuk berusaha lebih keras pada hujung minggu ini.
Saya sangat teruja untuk menyertai Moto3 pada tahun 2026 bersama pasukan MT MSi — ia benar-benar merupakan impian yang menjadi kenyataan. Saya tidak sabar menantikan tahun hadapan dan akan memberikan 100% usaha saya.Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan MT MSi Racing, Jordi, Oscar, penaja saya KBS, SIC, ZK Racing dan Terengganu Inc, serta semua peminat yang sentiasa percaya dan menyokong perjalanan saya.
Saya tidak akan mampu sampai ke tahap ini tanpa anda semua.”
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin turut berterima kasih dengan kerjasama ini,
“Secara jujurnya, saya sangat gembira untuk sekali lagi menjadi sebahagian daripada pasukan MSi. Sejak 2023 hingga kini, ia merupakan satu perjalanan yang panjang dan bermakna bersama Jody dan Oscar. Terima kasih kerana terus mempercayai pelumba Malaysia, mempercayai Hakim Danish.
Saya benar-benar percaya dengan potensi besar yang dimiliki Hakim Danish, dan bersama pasukan MSi, saya yakin kami mampu mencapai keputusan yang baik pada musim depan.Terima kasih juga kepada semua rakan kongsi kami SIC dan KBS yang sentiasa bersama kami sepanjang perjalanan ini.”
Penyertaan sepenuh musim Hakim Danish dalam Moto3 2026 menandakan kembalinya Malaysia ke grid kejuaraan dunia selepas tiga tahun, sejak kali terakhir diwakili oleh Syarifuddin Azman pada 2023, turut bersama pasukan yang sama.
Beliau akan beraksi bersama pasukan MT Helmets – MSi, salah satu pasukan terkemuka dalam kelas Moto3 yang turut pernah membimbing pelumba hebat seperti Diogo Moreira dan Iván Ortolá.


