Kelibat bekas pelumba Grand Prix, Axel Pons mengejutkan rata-rata peminat sukan permotoran apabila beliau dilihat dalam sebuah video dengan tidak memakai sebarang kasut menerusi sebuah video yang dikongsikan Pakistan Tourism pada bulan Julai lalu.
Menerusi video tersebut, pelumba Moto2 itu turut mengakui sudah menjelajah sebanyak 10 negara dan berjalan kaki selama tiga tahun demi mencari kerohanian dan erti kehidupan selain merapatkan hubungan bersama tuhan bermula dari negara Sepanyol hingga ke Pakistan.
“Cerita saya sangat panjang, tetapi saya mula berjalan semenjak tiga tahun lalu dengan memutuskan untuk melepaskan semua beban dalam hidup dan hanya membawa beg galas bersama saya dan berjalan kaki.
Dalam satu lagi video yang dikongsi oleh pengguna Wahaj Ali.B, bekas pelumba berusia 33 tahun itu menjelaskan keputusannya untuk menjelajah dunia bermula setelah menemukan erti kehidupan baru apabila mempersoalkan jalan dan kesudahan hidupnya sebagai seorang pelumba.
“Sekitar 15 bulan lalu saya mula bersedia dan memutuskan untuk berjalan ke timur, ke arah matahari. Jika orang bertanyakan saya berasal daripada mana saya adalah daripada Allah tetapi dilahirkan di Barcelona, Sepanyol.
“Pada satu saat, saya mula mempersoalkan kehidupan saya, apa tujuan untuk saya hidup dengan segalanya yang bergerak begitu pantas. Jadi saya cuba untuk memulakan kehidupan baharu dengan berjalan lebih perlahan, sehingga saat ini saya merasakan saya lebih menghargai erti kehidupan yang sebenar.
“Pada mulanya ianya tidak masuk akal tetapi selepas saya menyerahkan segala beban dalam kehidupan saya kepada Allah, saya menyedari tiada yang lagi tidak masuk akal selain bergantung kepada tuhan.
“Saya mula berjalan lebih perlahan, dan sehingga kini saya masih berjalan secara perlahan-lahan semasa menjelajah dunia, perlahan-lahan juga saya dapat menghargai ciptaan tuhan dan erti kehidupan,” katanya.
Axel Pons merupakan seorang pelumba yang pernah menyertai Grand Prix selama 10 musim bermula dari tahun 2008 hingga 2017. Sepanjang kariernya sebagai pelumba Moto2, beliau berjaya mencatatkan keputusan di kedudukan keenam terbaik di Grand Prix Itali pada tahun 2016.