Pelumba Prima Pramac Yamaha MotoGP, Miguel Oliveira, akan terus direhatkan daripada beraksi di atas litar akibat masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu yang dialaminya dalam kemalangan sewaktu perlumbaan Sprint di Argentina pada 15 Mac lalu.
Dalam insiden tersebut, pelumba Portugal itu terlibat dalam perlanggaran bersama Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP) di Litar Termas de Rio Hondo. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahu kiri Oliveira mengalami kecederaan yang memerlukan masa untuk pulih, sekaligus menyebabkannya terpaksa melepaskan aksi di Grand Prix Qatar minggu ini.
Sebagai pengganti, Augusto Fernandez sekali lagi akan mengisi tempat Oliveira. Pelumba ujian Yamaha Factory Racing itu sebelum ini telah turun beraksi di GP Americas, di mana beliau berjaya mengutip tiga mata dalam perlumbaan utama yang berlangsung dalam keadaan litar basah dan mencabar.
Fernandez, yang juga Juara Dunia Moto2 2022, mempunyai rekod baik di Litar Lusail dengan pernah merekodkan kedudukan lima terbaik dalam kelas Moto2 dan turut meraih mata dalam penampilan MotoGP di sana.
Walaupun penyertaan ini bukan sebahagian daripada kalendar penuhnya, kemunculan Fernandez di Qatar pastinya memberi peluang penting buatnya untuk terus membuktikan keupayaan di atas jentera Yamaha.
Buat masa ini, masih belum diketahui bilakah Oliveira bakal membuat kemunculan semula di atas litar, namun pasukannya memaklumkan bahawa keutamaan kini adalah terhadap proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali bersaing di tahap tertinggi.
Baca juga: