Baru-baru ini dikejutkan dengan berita Juara Dunia MotoGP 2024, Jorge Martin, terpaksa menarik diri daripada menyertai GP Argentina yang bakal berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi. Keputusan ini dibuat susulan kecederaan yang dialaminya ketika sesi latihan Supermoto sebagai persiapan menjelang GP Thailand minggu lalu.
Kecederaan ini bukan sahaja menyekat penyertaan Martin dalam perlumbaan, tetapi juga menjejaskan peluangnya mengutip mata awal musim bagi mempertahankan kejuaraannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola, mengakui menerima panggilan daripada pelumba Sepanyol itu sejurus insiden berlaku.
“Bila dia kata ‘Massimo’ di telefon, saya terus tahu dia telah terjatuh,” kata Rivola.
“Jadi saya berkata, ‘Baiklah, satu perkara pada satu masa, fikirkan kesihatan awak dahulu. Kami akan fikirkan tentang yang lain kemudian’.”
Walaupun kecederaan ini berpunca daripada latihan Supermoto, Rivola menegaskan bahawa Aprilia tidak akan menghalang pelumba mereka daripada meneruskan latihan dengan cara tersebut.
“Secara umum, pelumba tahu had mereka. Dalam kes ini, Martin hanya mahu menguji keadaan tangan kanannya selepas pembedahan dan menyesuaikan diri dengan pemakaian but serta kawalan pedal brek sebelum kembali menunggang jentera MotoGP yang jauh lebih ekstrem.

Beliau turut menekankan kepentingan kesihatan mental pelumba berusia 27 tahun itu.
“Dia seorang pejuang, seorang gladiator. Saya pasti dalam fikirannya, dia masih mahu berlumba esok. Tetapi ini adalah waktu untuk kami memberitahunya: ‘Tunggu sebentar. Kami tidak mahu membuat sebarang kesilapan. Anda akan kembali. Ambil masa secukupnya. Fokus utama sekarang ialah kesihatan anda,” tambahnya lagi.
Kecederaan terbaru ini menambah lagi kesukaran buat Martin, yang sebelum ini sudah pun mengalami patah tulang tangan kanan pada hari pertama ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) awal Februari lalu. Insiden itu memaksa beliau menjalani pembedahan dan terlepas baki sesi ujian tersebut.
Kini, beliau sekali lagi diuji apabila mengalami patah tulang di tangan kiri ketika sesi latihan, yang merupakan kecederaan berasingan daripada insiden di Sepang. Martin telah menjalani pembedahan kedua yang dilaporkan berjaya semalam.
Berdasarkan perkembangan semasa, Grand Prix di Circuit of the Americas (COTA), Texas pada 28-30 Mac dijangka menjadi perlumbaan pertama Martin bersama Aprilia. Menariknya, COTA merupakan lokasi di mana Aprilia mencatatkan satu-satunya kemenangan Grand Prix mereka pada musim lalu.
Dengan ketiadaan Jorge Martin, Aprilia kini bergantung kepada Marco Bezzecchi dan Lorenzo Savadori untuk mengharungi pusingan di Buriram dan Termas de Rio Hondo.
Baca juga :


