Pelumba MotoGP, Alex Marquez, percaya bahawa beliau memiliki banyak peluang untuk meraih kemenangan Grand Prix pertama dalam kariernya pada musim 2025 bersama pasukan Gresini Ducati.
Adik kepada Marc Marquez itu kini memasuki musim ketiganya bersama Gresini, setelah menikmati kejayaan dalam perlumbaan sprint dan beberapa podium sepanjang dua musim sebelumnya. Meskipun, sudah lima tahun dalam kelas perdana, Alex masih belum meraih sebarang kemenangan Grand Prix.
Peluangnya untuk mencapai kejayaan itu pada tahun lalu jelas terjejas apabila jentera GP23 nya tidak mampu memberikan saingan kepada jentera pasukan kilang Ducati yang jelas dalam kelas tersendiri.
Beralih kepada jentera GP24 untuk musim ini, Alex yang mencatat masa terpantas dalam ujian di Barcelona pada November lalu kekal optimis terhadap peluangnya untuk akhirnya berdiri di tempat teratas podium MotoGP.
“Saya rasa kami mempunyai banyak peluang untuk melakukannya,” katanya selepas pelancaran livery Gresini 2025 di Imola, Itali.
“Tetapi, pertama sekali, kami perlu bekerja dengan cara yang baik, seperti pada penghujung musim lalu, terutamanya dua perlumbaan terakhir dan ujian di Montmelo. Kami bekerja tanpa tekanan, hanya memberi tumpuan kepada tugas kami di garaj.

“Kami menunjukkan prestasi yang sangat baik di sana. Walaupun kami sebuah pasukan kecil, kami mempunyai mentaliti yang kuat dan semua yang diperlukan untuk berada di hadapan.
“Kami akan memberikan yang terbaik dan cuba memulakan musim dengan cara terbaik. Dalam empat perlumbaan pertama, kami akan lihat di mana kedudukan kami dan tahap kami.
Alex turut mengulas mengenai gandingan barunya yang juga merupakan pelumba rookie, Fermin Aldegur yang bakal membawa perubahan besar kepada pasukan Gresini. Beliau berpendapat dengan kewujudan pelumba berusia 19 tahun dari sepanyol itu akan membawa udara segar dalam Moto2
“Sejak saat pertama Fermin disahkan menyertai kami, saya ingin melihat generasi baharu dengan mentaliti baharu, betapa pantasnya dia. Saya yakin dia akan mempunyai kerjaya yang besar dalam MotoGP dan banyak tahun di hadapannya,” tambah Alex.
“Tetapi ia bagus untuk mendapat udara segar dari Moto2. Pelumba yang datang dari Moto2 membawa banyak perkara baik, dan potensi itu akan membantu kami.
“Saya fikir kami akan mempunyai banyak perkara positif dalam pasukan, dan kami boleh bekerjasama secara mendalam untuk mencari penyelesaian terbaik,” tambahnya lagi.

Musim 2025 bakal menjadi peluang terbesar buat Alex Marquez untuk mencatat sejarah peribadi dengan pasukan Gresini Ducati, sambil menanti cabaran getir dalam kalangan pelumba terbaik dunia.
Pasukan Gresini Ducati dijadualkan kembali ke litar bagi sesi ujian rasmi pertama yang dijadualkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 5 hingga 7 Februari, manakala sesi ujian shakedown akan berlangsung lebih awal, dari 31 Januari hingga 2 Februari.


