Impian untuk menyaksikan Alex Marquez kembali segera ke litar terpaksa ditangguhkan apabila beliau disahkan akan terlepas dua perlumbaan MotoGP seterusnya di Itali dan Hungary susulan kecederaan akibat kemalangan ngeri di Grand Prix Catalunya.
Pelumba Sepanyol itu sebelum ini terbabit dalam insiden serius ketika perlumbaan di Barcelona sebelum dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati Alex mengalami patah tulang selangka kanan serta retakan kecil pada vertebra C7 di bahagian leher.
Beliau kemudian menjalani pembedahan berjaya pada malam Ahad bagi menstabilkan tulang selangka tersebut menggunakan plat besi sebelum dibenarkan keluar dari Hospital General de Catalunya untuk meneruskan proses pemulihan di rumah. Baca sini
Pengarah sukan Gresini Racing, Michele Masini berkata keadaan Alex kini semakin positif walaupun pasukan masih perlu memantau kecederaan pada bahagian lehernya.
“Kami agak gembira dengan perkembangan terbaru. Alex sendiri sempat melakukan panggilan video dan memaklumkan pembedahan tulang selangkanya berjalan lancar,” katanya.
“Kami hanya perlu menunggu keputusan lanjut berkaitan kecederaan C7, tetapi saya rasa detik paling sukar sudah berlalu. Sekarang fokus utama ialah membawanya pulang, berehat dan menjalani fisioterapi.” tambahnya.
Masini turut menjelaskan kemalangan tersebut sukar dielakkan selepas jentera Alex mengalami kerosakan ketika memasuki kawasan rumput.
“Dia memberitahu bahawa kemalangan itu mustahil untuk dielakkan. Sebaik sahaja masuk ke kawasan rumput, motosikalnya sudah tidak boleh membelok ke kiri kerana ada bahagian yang rosak,” jelasnya.
Dalam kemas kini terbaharu yang dimuat naik di media sosial pada Khamis, Gresini mengesahkan Alex akan terlepas aksi Grand Prix Itali di Mugello dan GP Hungary bagi memberi ruang kepada proses pemulihan sepenuhnya.
Pasukan itu turut berkongsi gambar Alex yang sudah mampu berdiri sambil meneruskan rehabilitasi selepas insiden tersebut.


