Pelumba MotoGP dari Jepun, Ai Ogura, yang mewakili Trackhouse Racing, disahkan tidak akan mengambil bahagian dalam Grand Prix Indonesia hujung minggu ini di Litar Mandalika, Lombok.
Keputusan ini dibuat selepas penilaian lanjut terhadap keadaan tangannya yang cedera dalam satu insiden semasa perlumbaan di Misano, Itali, beberapa minggu lalu.
Walaupun Ogura sempat menyertai Tissot Sprint di Grand Prix Jepun minggu lalu dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke‑9, beliau kemudian menarik diri daripada perlumbaan utama kerana masih mengalami ketidakselesaan pada tangan kanannya.
Pasukan Trackhouse sebelum ini menyatakan bahawa penglibatannya di Indonesia akan ditentukan berdasarkan pemerhatian terhadap tahap pemulihannya. Kini, mereka mengesahkan bahawa Ogura akan terus berehat untuk memastikan beliau pulih sepenuhnya sebelum kembali ke litar.
Setakat ini, Ai Ogura telah mengambil bahagian dalam 13 perlumbaan utama MotoGP, mewakili Trackhouse Racing dengan jentera Aprilia. Beliau belum lagi meraih sebarang kemenangan, podium, petak utama (pole), atau pusingan (lap) terpantas, tetapi beliau telah mula menunjukkan prestasi yang konsisten dengan beberapa tamat perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.
Ogura mengumpul kira-kira 70 mata pada carta keseluruhan, menjadikannya salah seorang rookie yang paling menyerlah dalam kategori premier musim ini. Purata kedudukannya dalam setiap perlumbaan adalah sekitar tempat ke-10 hingga ke-12, dan beliau telah menunjukkan peningkatan dalam kelayakan dan perlumbaan seperti, menamatkan perlumbaan di tempat keenam ketika GP Catalan dan menunjukkan daya saing hebat di GP Thailand dengan berada di kelompok barisan hadapan sewaktu perlumbaan sprint atau perlumbaan utama.
Pasukan Trackhouse akan meneruskan saingan mereka di GP Indonesia tanpa kelibat Pelumba Jepun itu hujung minggu ini yang dijadualkan berlangsung dari Jumaat hingga Ahad ini seawal pukul 9 pagi waktu tempatan.
Dapatkan tiket MotoGP PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 24-26 Oktober ini. Anda berpeluang untuk nikmati 25% diskaun dengan masukkan kod ‘PODCAST25’ (Kod diskaun sah sehingga 20 Oktober sahaja) semasa pembelian tiket MotoGP di sepangcircuit.com.
Baca juga:


