Pelumba motosikal negara, Hakim Danish Ramli, terus mengukuhkan peluangnya untuk beraksi di pentas Moto3 musim depan selepas mencatat kemenangan sulung musim ini dalam Red Bull Rookies Cup di Aragon, Sepanyol hari ini.
Hakim yang menamatkan perlumbaan pertama semalam di kedudukan kedua, bangkit lebih garang dalam perlumbaan kedua hari ini apabila berjaya meraih tempat pertama, menewaskan dua pelumba tuan rumah, Brian Uriarte (+0.188s) dan David Gonzalez (+0.195s).
Lebih manis, kemenangan ini hadir selepas lima perlumbaan terdahulu menyaksikan Hakim sekadar menamatkan saingan di tempat kedua. Kini, anak jati Terengganu itu mendahului kedudukan keseluruhan dengan 125 mata, meninggalkan pencabar terdekat Uriarte dengan kelebihan 30 mata.
Hakim yang memulakan perlumbaan dari petak ketujuh mengakui ia bukan perlumbaan mudah.
“Ya, akhirnya kami berjaya meraih P1. Ia merupakan satu perlumbaan yang agak mencabar. Tayar agak haus di penghujung, tetapi saya berjaya menguruskannya.
“Terima kasih kepada penaja, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya. Dan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua rakyat Malaysia!” kata Hakim selepas perlumbaan tamat.
Kejayaan ini turut menyuntik keyakinan terhadap peluang Hakim untuk menyertai Kejuaraan Dunia Moto3 musim depan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC), Azhan Shafriman Hanif mendedahkan bahawa tempat untuk Hakim di Moto3 sudah tersedia, namun pelumba itu perlu membuktikan kemampuannya terlebih dahulu.
Pelumba muda berusia 17 tahun itu akan kembali semula ke litar pada pusingan Red Bull Rookies Cup yang seterusnya yang akan berlangsung di Litar Mugello, Itali pada 21 dan 22 Jun ini.
Baca juga:


